Tiga negara sumbang bekalan vaksin kepada Malaysia

- Advertisement -

Oleh SRIHAYANIS ABASRI

KUALA LUMPUR:
Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) merupakan satu ikhtiar serta usaha untuk keluar daripada keadaan wabak Covid-19 yang telah mengubah kehidupan rakyat semenjak hampir dua tahun yang lalu.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, berkata penerimaan sumbangan vaksin daripada tiga buah negara ini dapat membantu Malaysia mempercepatkan lagi pemberian vaksin.

- Advertisement -

“Tiga buah negara tersebut adalah Jepun yang telah menyumbang 998,400 dos vaksin AstraZeneca yang diterima pada 1 Julai.

“Amerika Syarikat yang telah menyumbang 1,000,350 dos vaksin Pfizer yang diterima pada 5 Julai, serta China yang menyumbang vaksin Sinovac sebanyak 500,000 dos yang telah diterima pada 16 Julai.

“Sehingga 26 Julai yang lalu, jumlah vaksin yang telah diterima daripada syarikat pembekal menerusi perolehan kerajaan adalah sebanyak 23.88 juta dos,” katanya yang juga Menteri Penyelaras PICK.

Beliau berkata demikian ketika memberi penerangan berkaitan jumlah dan sumbangan vaksin kepada rakyat Malaysia pada Mesyuarat Khas Parlimen di sini, hari ini.

Tambah Khairy, daripada jumlah ini, sebanyak 1,085,790 dos telah diterima pada suku pertama; 8,906,530 dos telah dihantar pada suku kedua dan manakala bakinya adalah jumlah vaksin yang diterima pada bulan Julai.

Oleh demikian, vaksin yang telah diterima oleh Malaysia menerusi perolehan kerajaan dan juga sumbangan daripada negara luar sehingga kini adalah berjumlah 26,383,670 dos.

“Kerajaan juga sedang dalam perbincangan dengan beberapa buah negara lagi yang telah menyatakan kesediaan untuk turut menyumbang bekalan vaksin kepada Malaysia seperti negara United Kingdom dan Arab Saudi,” ujarnya.

Beliau bagi pihak kerajaan turut merakamkan ucapan terima kasih kepada negara-negara yang telah menyumbangkan bekalan vaksin kepada Malaysia. – HARAKAHDAILY 28/7/2021

- Advertisement -