Sultan Sharafuddin dukacita pegawai di Selangor terlibat rasuah

- Advertisement -

SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacita apabila terdapat beberapa pegawai kerajaan di Selangor terlibat dengan kegiatan rasuah yang boleh meruntuhkan imej pentadbiran dan nama baik seluruh pegawai kerajaan negeri ini.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor Datuk Mohamad Munir Bani dalam kenyataan berkata baginda menegaskan bahawa mana-mana pegawai kerajaan di Selangor yang didapati bersalah terlibat dalam aktiviti rasuah atau pecah amanah hendaklah dikenakan tindakan tatatertib serta hukuman setimpal dengan kesalahan yang dilakukan.

- Advertisement -

“Mana-mana pegawai kerajaan dan ahli politik yang telah dikurniakan darjah dan bintang kebesaran serta pingat Negeri Selangor dan didapati telah melakukan kesalahan rasuah, maka kurniaan tersebut akan ditarik balik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Munir berkata Sultan Sharafuddin turut menzahirkan penghargaan baginda kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang telah melaksanakan tanggungjawab menyiasat dan memastikan aktiviti rasuah di Selangor dapat dibanteras.

“Baginda menyeru SPRM supaya terus menjalankan penyiasatan yang telus dan teliti serta mendapatkan bukti-bukti yang kukuh bagi memastikan mereka yang melakukan rasuah tersebut tidak terlepas daripada menerima hukuman yang sewajarnya.

“Sultan Selangor mengingatkan bahawa rasuah dan penyalahgunaan kuasa adalah satu gejala yang boleh merosakkan masyarakat serta menjatuhkan negara,” menurut kenyataan tersebut. – BERNAMA

- Advertisement -