SPRM menjunjung kasih titah Sultan Selangor

- Advertisement -

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjunjung kasih titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menzahirkan penghargaan kepada SPRM kerana melaksanakan tanggungjawab menyiasat dan memastikan aktiviti rasuah di Selangor dapat dibanteras.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki berkata titah Sultan Sharafuddin itu melambangkan keprihatinan dan ketegasan baginda terhadap pembabitan beberapa pegawai kerajaan di Selangor yang terlibat dengan kegiatan rasuah yang boleh meruntuhkan imej pentadbiran dan nama baik seluruh pegawai kerajaan di negeri itu.

- Advertisement -

Sultan Sharafuddin dalam kenyataan yang dikeluarkan melalui Setiausaha Sulit baginda, Datuk Mohamad Munir Bani hari ini menzahirkan rasa dukacita apabila terdapat beberapa pegawai kerajaan di Selangor dipercayai terlibat dengan kegiatan rasuah.

Baginda menitahkan mana-mana pegawai kerajaan di Selangor yang didapati bersalah terlibat dalam aktiviti rasuah atau pecah amanah hendaklah dikenakan tindakan tatatertib serta hukuman setimpal dengan kesalahan yang dilakukan.

Baginda turut menitahkan mana-mana pegawai kerajaan dan ahli politik yang dikurniakan darjah dan bintang kebesaran serta pingat negeri Selangor dan jika didapati melakukan kesalahan rasuah, kurniaan itu akan ditarik balik.

“Saya sangat mengalu-alukan dan menyanjung tinggi pendirian Sultan Sharafuddin terhadap SPRM dalam menjalankan tugas untuk melaksanakan penyiasatan yang telus dengan bukti-bukti yang kukuh bagi memastikan mereka yang melakukan rasuah tersebut tidak terlepas daripada menerima hukuman yang sewajarnya,” kata Azam dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru, katanya SPRM menyeru orang ramai termasuk rakyat Selangor agar mengambil perhatian khusus terhadap titah Sultan Sharafuddin itu supaya perkara sama tidak berulang pada masa akan datang sekali gus menjadikan Malaysia bebas rasuah. – BERNAMA

- Advertisement -