Peruntukan RM5.8 bilion vaksinasi sasar jumlah penduduk

- Advertisement -

Oleh EVA NATASHA SADALI

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Peruntukan keseluruhan yang disediakan kerajaan bagi pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) adalah sebanyak RM5.8 bilion.

Daripada jumlah ini, sebanyak RM4.8 bilion disalurkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) manakala bakinya disalurkan kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Menurutnya, ketika persidangan Parlimen pada 7 Disember 2020, kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM3 bilion bagi tujuan perolehan vaksin sahaja iaitu untuk 70 peratus penduduk Malaysia.

“Pada masa tersebut, anggaran RM3 bilion ini diperolehi menerusi simulasi yang telah dijalankan dengan mengambilkira jangkaan harga purata vaksin-vaksin Covid-19 yang sedang dibangunkan ketika itu.

“Selain itu juga, anggaran RM3 bilion ini juga adalah tidak termasuk kos-kos lain yang perlu ditanggung bagi pelaksanaan PICK,” ujarnya ketika memberi penerangan berkenaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di Sidang Khas Dewan Rakyat, hari ini.

Khairy menambah, peruntukan tersebut ditambah sebanyak RM5 bilion lagi menerusi Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) yang diumumkan Perdana Menteri pada 18 Januari 2021.

“Perdana Menteri telah mengumumkan peruntukan tambahan sehingga RM5 bilion bagi pelaksanaan PICK yang ketika itu dijangka bermula pada bulan Mac 2021 dengan penambahan jumlah dos vaksin yang mencukupi bagi 120 peratus populasi negara,” katanya.

Sehubungan itu juga kata Khairy, jumlah peruntukan vaksinasi ditambah lagi sebanyak RM800 juta menerusi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) pada 28 Jun 2021.

“Perdana Menteri menerusi PEMULIH sekali lagi mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM800 juta dengan jumlah dos vaksin ditingkatkan kepada 130 peratus populasi Malaysia bagi tujuan stok penimbal serta mempercepatkan pelaksanaan PICK.

“Peruntukan RM800 juta ini juga adalah termasuk tambahan bayaran elaun daripada RM50 kepada RM100 sehari bagi sukarelawan bukan kesihatan yang turut diperluas kepada mereka yang bertugas di lapangan selain PPV,” tambah Khairy.

Beliau turut memaklumkan peruntukan tersebut turut dimanfaatkan kepada pembayaran elaun khas kepada petugas barisan hadapan kesihatan yang terlibat dalam PICK daripada RM200 kepada RM600. – HARAKAHDAILY 28/7/2021

- Advertisement -