Penduduk Bukit Malut didaftar penerima vaksin

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR:
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bersetuju meluluskan permohonan Kedah untuk menambah bekalan vaksin ke negeri itu.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, beliau membuat permohonan penambahan itu melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) dua hari lalu.

“MOSTI bersetuju membekalkan vaksin kepada Kedah daripada 130,000 dos seminggu kepada 220,000 dos seminggu,” katanya pada kenyataannya selepas mesyuarat mingguan Exco secara di atas talian hari ini.

- Advertisement -

Selain itu kata beliau Pusat Pemberian Vaksin (PPV) kerjasama awam dan swasta (PIKAS) di Minebea Electronics Motor, Sungai Petani menyasarkan 50,000 warga industri menerima dua dos vaksin.

Sanusi juga berkata, pegawai daerah seluruh Kedah diarah untuk menyegerakan proses pendaftaran penduduk yang belum mendaftar untuk penerimaan vaksin Covid-19.

Proses itu katanya boleh dilakukan melalui pelbagai kaedah termasuk secara manual menggunakan khidmat Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), masjid dan penghulu.

“Oleh itu saya berharap semua JPKK mengambil peranan mempercepatkan proses pendaftaran dan vaksinasi melalui pelbagai kaedah yang diputuskan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) daerah,” ujarnya.

Menteri Besar juga berkata, proses vaksinasi secara outreach akan dilaksanakan di semua daerah di Kedah.

Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Bukit Malut, Langkawi, katanya berjalan lancar dan mendapat kerjasama semua agensi penguatkuasaan.

Penduduk di kawasan itu juga akan didaftar sebagai penerima vaksin dan proses itu akan dilakukan segera.

“Penduduk Bukit Malut yang dikenakan PKPD akan segera didaftarkan sebagai penerima vaksin di khemah khas di penempatan mereka,” katanya.

Menteri Besar juga berharap orang ramai menjaga prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan berikutan kes Covid-19 di negeri itu semakin meningkat sekarang.

Beliau turut merakam penghargaan kepada semua petugas barisan hadapan terutama doktor serta petugas kesihatan di hospital dan klinik kesihatan. – HARAKAHDAILY 28/7/2021

- Advertisement -