Pembangkang kejar bayang kuasa di kerusi Parlimen

- Advertisement -

SUDAH terang lagi bersuluh. Itulah perumpamaan menggambarkan gelagat ahli Parlimen pembangkang sekarang. Mereka nampaknya begitu ghairah mahu ada segmen undi belah bagi.

Tujuannya untuk mengukur sejauh mana sokongan terhadap perdana menteri. Mengulangi tragedi sidang parlimen Disember lepas.

Tiba-tiba ghairah itu muncul lagi petang tadi apabila Ahli Parlimen Jelutong mendesak supaya diadakan undi untuk mengesahkan betulkah Ahli Parlimen Pagoh mendapat sokongan.

Isu itu bermula apabila Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman menyebut perdana menteri mendapat sokongan. Ia muncul pada persidangan khas hari ini di celah-celah tajuk vaksinasi.

- Advertisement -

Pembangkang seperti mahu mengulangi lagi percubaan menggagalkan Bajet 2021 Disember lepas, namun ia masih tidak menjadi kenyataan.

Penerangan mengenai vaksinasi disampaikan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin.

Kerajaan memperuntukkan RM5 bilion untuk perolehan 73.5 juta dos. Ia termasuk kos pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) sebelum ini menjelaskan vaksin yang diperoleh itu membabitkan jenis dua dos.

Negara lain juga terpaksa mengorbankan banyak wang bagi mendapatkan vaksin. Singapura membelanjakan RM3.1 bilion bagi memperolehi 11.4 juta dos vaskin.

Manakala Amerika Syarikat pula dikatakan membelanja RM8.07 bilion untuk 100 juta dos vaksin Pfizer.

Pada 23 Disember lepas kerajaan memperoleh akses vaksin untuk 82.8 peratus populasi daripada pelbagai pembekal melibatkan kos RM2.05 bilion.

Khairy yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) memberitahu peruntukan keseluruhan RM5 bilion merangkumi RM3.5 bilion untuk perolehan dan logistik vaksin.

Selain itu RM333 juta (sewaan dan utiliti), RM260 juta (perkakasan, persediaan pakai habis dan maklumat pemberian vaksinasi), dan RM100 juta untuk pembersihan dan sanitasi.

Biarpun pengorbanan besar dibuat kerajaan, namun tidak ramai ahli parlimen pembangkang berkongsi ucapan terima kasih.

Berbeza jauh dengan penyokong kerajaan. Ahli Parlimen Arau, Dato’ Seri Shahidan Kassim menyebut rakyat sepatutnya bersyukur. Kata beliau sekiranya kita bersyukur Allah akan menambah lagi nikmat.

Kerana tidak bersyukur itulah pembangkang lupa mereka gagal pertahankan kuasa di Putrajaya. Hanya 22 bulan pembangkang sempat bergelar menteri.

Akhirnya kerana krisis dalaman kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang Februari 2020. Sejak tempoh itu pembangkang tidak putus asa mencari jalan menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Peluang intai usul

Dan hari ketiga persidangan khas hari ini pembangkang tidak mampu menyembunyikan hasrat itu. Mereka berkeras mahu membentang usul untuk mengenakan tindakan terhadap Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Parlimen Datuk Seri Takiyuddin Hassan atas dakwaan mengelirukan dewan.

Ketika Timbalan Speaker Dewan Rakyat Mohd Rashid Hasnon memulakan persidangan padi tadi, pembangkang bangun silih berganti. Drama itu dimulakan Gobind Singh Deo (DAP-Puchong).

Beliau berkeras mahu mengusulkan tindakan terhadap ahli parlimen Kota Bharu. Kemudian bangun Hanipa Maidin (Amanah-Sepang) dengan mengheret usul serupa.

Pembangkang terutamanya mewakili DAP terus mendesak Speaker membenarkan usul mengenakan tindakan terhadap Takiyuddin atas dakwaan mengelirukan Dewan berkaitan Ordinan Darurat.

Namun akhirnya drama itu berlalu begitu sahaja. Namun pembangkang pintar berhelah. Mereka mendesak pula supaya dipanjangkan tempoh mesyuarat.

Mereka seakan tidak sedar dunia sekarang berdepan penularan Covid-19. Dalam tempoh dua hari pertama sidang, empat kes positif Covid-19 dikesan di kawasan Parlimen.

Mengambil kira situasi itu persidangan Parlimen hanya diadakan sehingga jam 5.30 petang. Bagaimanapun atas ihsan Yang Dipertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun persidangan ditamat jam 5.45 petang.

“Kita sebenarnya tidak menuruti rekomendasi Ketua Pengarah Kesihatan. Kalau nak ikut nasihatnya, kita bersidang sehingga jam 2 petang,” katanya di Parlimen sesi pagi.

Sebelum itu Shamsul Iskandar Mohd Akin (PH-Hang Tuah Jaya) mengusulkan supaya masa perbahasan dilanjutkan. Ia bagi memberi peluang kepada ramai ahli Parlimen berbahas.

Jumaat lepas tiga Ahli Parlimen gagal dalam ujian saringan Covid-19. Menurut laporan media, empat orang disahkan kontak rapat.

Ternyata keghairahan politik mengatasi segala-galanya. Ketika ada rakan ahli parlimen menjalani kuarantin, pembangkang asyik mengejar bayang kuasa di kerusi parlimen. – HARAKAHDAILY 28/7/2021

- Advertisement -