Pembangkang hanya tahu ‘bangkang’, tiada idea bantu rakyat

- Advertisement -

Oleh ABI FATULLAH ABE

PAGI ini sekali lagi Sidang Khas Dewan Rakyat dihiasi dengan lawak jenaka oleh ahli Parlimen pembangkang yang tidak sudah membawa agenda mempertikai jawapan kerajaan mengenai Ordinan Darurat walaupun semalam Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Takiyuddin Hassan bahawa pihaknya akan memberi penjelasan mengenai darurat pada Isnin depan.

Beberapa ahli Parlimen pembangkang termasuk Hanipa Maidin (Amanah-Sepang), Gobind Sing Deo (DAP- Puchong) dan Dato’ Ngeh Ko Ham (DAP-Beruas) selain M Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat) yang menggesa Takiyuddin menjawab segera mengenai kedudukan pembatalan Ordinan Darurat.

Hari ketiga masih lagi Parlimen menjadi tempat meluah amarah yang mana akhirnya mereka menjelmakan ayat-ayat penghinaan ke atas Yang Dipertua Dewan Rakyat selain suara kesumat selepas tidak lagi menjadi perintah kerana kerajaan yang mereka bina 22 bulan runtuh akibat pergeseran sesama mereka.

- Advertisement -

Harapan rakyat di luar sana Parlimen membincangkan langkah dan idea bagi menyelesaikan kemelut wabak Covid-19 selain keutamaan kepada kebajikan rakyat berbanding perkara yang teknikal kerana di luar sana rakyat memerhati gelagat ahli Parlimen pembangkang yang sebelum ini menyatakan kononnya sidang Parlimen perlu dibuat demi membincangkan kebajikan dan keterdesakan rakyat dalam mendepani pandemik Covid-19 yang semakin membimbangkan.

Sebelum ini pada Selasa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri menyatakan komitmen pihaknya menjelaskan mengenai Proklamasi Darurat dan perkara berbangkit yang disebutkan ahli Parlimen pembangkang sejak hari pertama Parlimen bersidang.

Takiyuddin berkata pihaknya memberi penjelasan mengenai semua perkara berkaitan Ordinan Darurat termasuk pembatalannya di Dewan Rakyat, Isnin ini.

Takiyuddin memaklumkan, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun sudah membuat satu petua semalam, yang mana semua persoalan dan isu dibangkitkan Ahli Parlimen berhubung perkara itu dijawab pada hari berkenaan.

“Yang Dipertua mengarahkan Menteri memberi penjelasan pada Isnin. Saya minta dengan rendah diri, supaya untuk berlaku adil kepada kerajaan, saya diberi peluang untuk memberi penjelasan semua mengenai pelaksanaan darurat pada Isnin ini,” katanya pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat, pada Selasa.

Kenyataan Takiyuddin itu bagaimanapun dibantah beberapa Ahli Parlimen pembangkang, yang mendesak supaya hal berkaitan darurat terutama pengumuman pembatalannya berkuat kuasa 21 Julai lalu oleh Takiyuddin semalam dijawab segera.

Ini terutamanya untuk penjelasan sama ada pembatalan itu sudah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah, selain kedudukan kompaun yang dikeluarkan selepas 21 Julai.

Takiyuddin bagaimanapun menegaskan, beliau tertakluk kepada petua yang diberikan Azhar.

“Dalam Dewan ini ada peraturan, Yang Dipertua, Perdana Menteri, Ketua Pembangkang, semuanya tertakluk kepada Peraturan Mesyuarat.

“Antara yang ada dalam peraturan ini adalah petua daripada Yang Dipertua. Saya tertakluk kepada petua Yang Dipertua semalam yang meminta saya memberi penjelasan pada Isnin.

“Bukan saya lari (daripada memberikan jawapan). Hari Isnin tidak akan lari,” katanya.

Pada Isnin Takiyuddin memaklumkan, kerajaan memutuskan tidak akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk melanjutkan Proklamasi Darurat yang dijadual tamat pada 1 Ogos ini.

Beliau berkata, kerajaan juga memutuskan untuk membatalkan semua ordinan yang sudah dibuat sepanjang tempoh pelaksanaan Proklamasi Darurat, berkuat kuasa 21 Julai lalu berdasarkan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan.

Melalui siaran langsung pagi ini di beberapa pautan Facebook, netizen mula mempertikai kecenderungan ahli Parlimen pembangkang yang dilihat terlalu fokus kepada isu darurat berbanding usaha membantu rakyat.

Seorang netizen bernama Aliff menyatakan “cukuplah bincang bab darurat, darurat tamat dah 1 Ogos ini, yang kami mahukan apa idea kalian semua tentang kebajikan kami ini”.

Seorang lagi netizen bekas tentera yang mahu dikenali sebagai Yazi pula menyatakan “kalau macam ini lah standard pembangkang, tak payah berangan nak jadi kerajaan, lagi teruk,”.

Sementara di pihak kerajaan hari ini Menteri MOSTI, Khairy Jamaluddin Abu Bakar membentangkan mengenai Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dijalankan kerajaan sejak tahun lalu dengan rangka pelan keselamatan mengenai kawalselia vaksin, keberkesanan vaksin, kesan vaksin, hala tuju pelan dan bagaimana pelan mencapai imuniti kelompok.

Beliau berkata, daripada jumlah itu 5.9 juta atau 18.1 peratus mendapat dos lengkap vaksin dan ia bermakna sebanyak 18.4 juta dos vaksin yang sudah diberi kepada rakyat negara ini.

“Sebanyak 53.3 peratus orang dewasa daripada keseluruhan populasi rakyat negara ini sudah menerima menerima satu dos vaksin,” katanya semasa membentang PICK yang sedang dilaksanakan kerajaan.

Katanya, kira-kira 25.2 peratus populasi dewasa sudah menerima dos lengkap.

“Bagi petugas barisan hadapan, dalam fasa pertama program vaksinasi seramai 695,000 selesai dos lengkap, iaitu 195 peratus lebih tinggi daripada sasaran awal 500,000 orang.

Malah semalam, Wilayah Persekutuan Labuan telah mencapai 80 peratus imuniti kelompok dengan sasaran seterusnya kepada 100 peratus pula.

Sasaran kerajaan Februari 2022 untuk imuniti kelompok dipercepatkan kepada September tahun ini, Menurut Khairy Jamaludin dalam pembentangannya ketika ini.

Terdahulu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin pada Isnin telah membentang Pelan Pemulihan Negara dan pakej PEMULIH yang meliputi kesemua aspek samada kebajikan rakyat, bantuan makanan, vaksinasi, ekonomi dan keselamatan negara dengan tumpuan penuh bagi membantu rakyat mendepani tekanan ekonomi angkara pandemik Covid-19 selain fasa-fasa peralihan pelan jalan keluar (exit plan) daripada kemelut wabak Covid-19 ini.

Pelbagai pakej bantuan diumumkan kepada semua peringkat golongan termasuk B40, M40 dan T20 yang dianggap ramai sebagai banyak membantu kelangsungan hidup rakyat.

Ketika ini rakyat sebaliknya mula mempertikai apa sumbangan pembangkang kepada negara ketika mereka sewenang-wenangnya mempertikai usaha kerajaan sedangkan mereka ‘hanya pandai komplen’. – HARAKAHDAILY 28/7/2021

- Advertisement -