Parlimen: Hari ketiga pembangkang masih riuh rendah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Biarpun Yang Dipertua Dewan Rakyat Dato’ Azhar Azizan Harun sudah menjelaskan aturan mesyuarat menjawab isu Ordinan Darurat pada Isnin ini, namun pembangkang masih mengungkit isu serupa.

Pagi ini ketika persidangan khas Dewan Rakyat hari ketiga, pembangkang mahu membentang pula usul untuk mengenakan tindakan terhadap Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Parlimen Dato’ Seri Takiyuddin Hassan atas dakwaan mengelirukan dewan.

- Advertisement -

Semasa Timbalan Speaker Dewan Rakyat Dato’ Mohd Rashid Hasnon memulakan persidangan, pembangkang bangun silih berganti yang dimulakan Gobind Singh Deo (DAP-Puchong).

Beliau berkeras mahu mengusulkan tindakan terhadap Ahli Parlimen Kota Bharu.

Menurutnya beliau sudah mengemukakan usul tersebut kepada Speaker. Kemudian bangun Hanifa Maidin (Amanah-Sepang) dengan membawa usul serupa.

Bagaimanapun pembangkang yang terdiri peguam terutamanya mewakili DAP silih berganti mahu meminta Speaker membenarkan mereka membawa usul mengenakan tindakan terhadap Takiyuddin atas dakwaan mengelirukan Dewan berkaitan Ordinan Darurat.

Namun Mohd Rashid tetap bertegas meneruskan persidangan bagi membolehkan Menteri Sains, Teknologi, dan Inovasi Khairy Jamaluddin membentangkan penerangan mengenai program vaksinasi.

“Dewan tidak mahu membazirkan masa dengan agenda yang telah ditetapkan hari ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/7/2021

- Advertisement -