Pantau oksigen, kesan Happy Hypoxia pesakit di rumah

KUALA LUMPUR: Pesakit COVID-19 kategori satu dan dua dengan gejala ringan yang menjalani kuarantin di rumah perlu sentiasa memantau kadar oksigen dalam darah mereka menggunakan ‘pulse oximeter‘ bagi membolehkan mereka mengesan lebih awal komplikasi Happy Hypoxia.

Pakar Mikrobiologi Klinikal Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Prof Madya Dr Nurul Azmawati Mohamed berkata Happy Hypoxia merupakan keadaan kandungan oksigen dalam darah pesakit COVID-19 sudah mulai turun dari paras 95 peratus tetapi mereka tidak berupaya menyedarinya kerana masih boleh bernafas seperti biasa.

Advertisement

“Bagi mereka (pesakit) kategori satu dan dua yang menjalani kuarantin di rumah, mereka tidak perlu rawatan khusus tetapi perlu lakukan swapantau bagi mengesan sebarang gejala dan sekiranya gejala yang dialami agak teruk, mereka perlu segera hubungi Pusat Penilaian COVID-19.

“Jadi dalam proses pemantauan ini, dapatkan pulse oximeter untuk melihat kepekatan oksigen dalam darah sebab apabila seseorang itu dijangkiti COVID-19 ia akan ganggu sistem pernafasan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu jemputan secara maya dalam program Koresponden terbitan Bernama TV yang bertajuk ‘Pengambilan Vaksin Sebagai Perisai’ hari ini.

Dr Nurul Azmawati berkata pemantauan kadar oksigen dalam darah boleh dilakukan sekurang-kurangnya tiga kali sehari dan sekiranya didapati kadar oksigen berkurangan di bawah 95 peratus, mereka perlu ke hospital untuk rawatan.

“Selain pantau kadar oksigen, mereka yang jalani kuarantin di rumah juga perlu mengambil air secukupnya dan tiada ubat-ubatan diperlukan kecuali kalau demam, bolehlah mereka makan panadol… mereka boleh pulih sendiri cuma perlukan masa,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Dr Nurul Azmawati turut meminta orang ramai supaya tidak keliru dengan keadaan peningkatan kes COVID-19 sejak kebelakangan ini sedangkan rakyat terus divaksinasi.

Beliau berkata masyarakat sebaliknya perlu memahami fungsi sebenar vaksin kerana ramai yang berpendapat apabila sudah divaksin mereka kebal daripada jangkitan.

“Vaksin tidak menyebabkan kita kebal tetapi mempersiapkan badan kita dengan merangsang penghasilan antibodi dan sel memori supaya apabila jangkitan sebenar berlaku, badan segera melawan virus ini,” katanya.

Beliau berkata jangkitan dalam kalangan mereka yang sudah menerima vaksin bukan menandakan vaksin tidak berkesan, namun vaksin masih mampu menjadi perisai dan mengurangkan risiko jangkitan COVID-19 yang teruk. – BERNAMA