MP Jelutong ‘ganggu’ ucapan MP Sik

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Walaupun bukan floornya, namun begitulah sikap ahli Parlimen pembangkang di Parlimen khasnya dalam membawa isu kuasa dimana mereka mula mempertikai sokongan majoriti keabsahan Perdana Menteri.

Ketika Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman (PAS-Sik) berucap dan membetulkan pandangan MP Bangi, RSN Rayer (DAP-Jelutong) mengganggu ucapan MP Sik dengan mencabar Sik menyatakan kesanggupan sama ada berani atau tidak membuat pengundian sokongan majoriti keabsahan Perdana Menteri.

- Advertisement -

Walhal ketika ini perbahasan adalah berkaitan dalam urusan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dibentang oleh Menteri Penyelaras, Khairy Jamaluddin Abu Bakar pagi tadi.

Rayer dalam ‘serangan’ bertubi-tubi kepada MP Sik, mencabar agar Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (Bersatu-Pagoh) dibuktikan masih mempunyai sokongan majoriti yang cukup untuk meneruskan kerajaan Perikatan Nasional.

“Kalau betul YB Sik mengatakan Pagoh ada majoriti, berani tidak beliau cadangkan perkara ini, kita undi petang ini. Berani tidak?” kata Rayer dalam Sidang Khas Dewan Rakyat di sini hari ini.

Walau bagaimanapun, Ahmad Tarmizi hanya memperbetulkan apa yang dikatakan oleh Yang Berhormat Bangi di dalam perbahasan terdahulu.

Malah kerana gangguan bertalu-talu oleh MP Pembangkang itu, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Dato’ Mohd Rashid Hasnon memohon MP Sik menamatkan ucapan berikutan masa perbahasan yang diberikan kepadanya telah tamat.

MP Sik dalam ucapannya terdahulu mengenai isu vaksinasi menyatakan ucapan terima kasih kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang telah pun membentangkan pelan besar negara menguruskan program imunisasi Covid-19.

“Dan sudah pastilah pembentangan tadi, sangat jelas. Kerajaan sangat komited dan gigih untuk menyelesaikan pandemik yang sedang berlaku ini.

“Mana mungkin sebuah kerajaan yang gagal, jika kerajaan dengan begitu pantas dan cepat mengeluarkan perbelanjaan 5.8 bilion untuk menguruskan imunisasi negara ini,” kata Ahmad Tarmizi sebelum berlakunya kekacauan di sidang, tadi. – HARAKAHDAILY 28/7/2021

- Advertisement -