Kadar vaksinasi Malaysia terpantas, terima kasih semua

- Advertisement -

Oleh ABI FATULLAH ABE

KADAR
vaksinasi Malaysia terpantas ketika ini, demikian rumusan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin Abu Bakar ketika mengakhiri pembentangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di Dewan Rakyat hari ini.

Dengan suara yang amat sayu atas pengorbanan petugas kesihatan dan kakitangan kementerian MOSTI serta sukarelawan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bercampur gembira selain gembira dengan kejayaan mempercepat pengambilan vaksin, Khairy memaklumkan bahawa kerajaan sedang berusaha keras dalam memastikan proses vaksinasi ini akan bergerak lebih pantas dengan bekalan yang sedang dalam proses penerimaan di mana kerajaan ketika ini menerima 24 juta dos berbanding yang telah dibeli lebih 70 juta dos.

- Advertisement -

Ketika ini katanya seramai 12.49 juta penduduk negara ini atau 38.2 peratus keseluruhan populasi, sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Khairy yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan berkata, daripada jumlah itu 5.9 juta atau 18.1 peratus mendapat dos lengkap vaksin dan ia bermakna sebanyak 18.4 juta dos vaksin yang sudah diberi kepada rakyat negara ini.

“Sebanyak 53.3 peratus orang dewasa daripada keseluruhan populasi rakyat negara ini sudah menerima menerima satu dos vaksin,” katanya semasa membentang PICK yang sedang dilaksanakan kerajaan.

Menurut Khairy lagi, sejumlah 25.2 peratus populasi dewasa sudah menerima dos lengkap.

Tambahnya bagi petugas barisan hadapan, dalam fasa pertama program vaksinasi seramai 695,000 selesai dos lengkap, iaitu 195 peratus lebih tinggi daripada sasaran awal 500,000 orang.

Sementara kumpulan fasa kedua pula sehingga 25 Julai lalu mencatatkan 93 peratus penduduk berusia 60 tahun ke atas yang sudah mendaftar menjadi penerima vaksin, menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Perkembangan ini memberi gambaran bahawa sasaran kerajaan untuk mencapai 80 peratus  imuniti kelompok pada Oktober ini boleh menjadi kenyataan kerana perkembangan suntikan harian yang amat memberangsangkan kini melebihi 500,000 atau setengah juta dos sehari.

Pun begitu wakil pembangkang, Dato’ Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam ucapannya membahas pembentangan Khairy sebentar tadi tetap mempertikai proses vaksinasi yang dikatakan lambat walaupun akhir-akhir ini semakin cepat.

Dalam ucapannya beliau tidak lari membawa isu Proklamasi Darurat walaupun dalam kerangka isu vaksinasi.

Tindakan pengulangan isu ini bakal menyerlahkan lagi wajah sebenar pembangkang yang ‘recycle’ isu untuk memberi sentimen atau pandangan negatif kepada usaha kerajaan mendepani pandemik Covid-19 dan mempercepatkan proses vaksinasi. – HARAKAHDAILY 28/7/2021