Julai catat pemberian vaksin lebih 10 juta dos

- Advertisement -

Oleh EVA NATASHA SADALI

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Seramai 12,487,441 orang penduduk Malaysia atau bersamaan 38.2 peratus keseluruhan populasi telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19 setakat 27 Julai lalu.

Daripada jumlah ini, hanya seramai 5,905,906 orang atau 18.1 peratus populasi telah mendapat dos lengkap vaksin.

Ini menjadikan jumlah vaksin Covid-19 yang telah diberikan adalah sebanyak 18,393,347 dos, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Menurutnya, berdasarkan populasi dewasa, sebanyak 53.3 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos manakala 25.2 peratus telah menerima dos lengkap bagi golongan tersebut.

Manakala, bagi petugas barisan hadapan yang termasuk dalam kumpulan penerima vaksin Fasa 1, sejumlah 695,000 telah selesai menerima dos lengkap masing-masing.

Jumlah tersebut adalah 195,000 lebih tinggi berbanding sasaran awal yang ditetapkan iaitu sebanyak 500,000 orang.

Khairy memaklumkan, bagi kumpulan Fasa 2, seramai 2.9 juta warga emas atau 92.6 peratus daripada jumlah keseluruhan populasi berumur 60 tahun ke atas yang telah mendaftar sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos setakat 25 Julai lalu.

Manakala, bagi golongan OKU dan komorbid pula masing-masing sebanyak 289,238 dan 6.32 juta orang telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin ataupun diberikan janji temu dalam tempoh masa terdekat.

“Seperti mana yang pernah saya nyatakan sebelum ini, kadar vaksinasi harian di seluruh negara akan mencapai purata sebanyak 150,000 hingga 160,000 suntikan dos sehari menjelang Jun dan jumlah ini akan terus meningkat pada suku ketiga 2021.

“Pada bulan Jun yang lalu purata suntikan yang telah dicapai adalah sebanyak 169,000 dos.

“Manakala bagi bulan Julai, sasaran purata yang telah ditetapkan adalah sebanyak 300,000 suntikan dos sehari.

“Sehingga semalam, purata yang telah dicapai sepanjang bulan Julai adalah sebanyak 378,000 dos sehari.

“Ini bermakna telah berlaku peningkatan sebanyak 124 peratus apabila dibandingkan kadar purata antara bulan Jun dan purata bulan Julai sehingga hari semalam.

“Sebagai perbandingan peningkatan kadar vaksinasi, pemberian vaksinasi semenjak permulaan PICK pada Februari sehingga bulan Jun yang lalu adalah sekitar lapan juta dos.

“Tetapi untuk bulan Julai ini sahaja, sehingga ke hari ini, pemberian telah melebih 10 juta dos,” ujarnya ketika memberi penerangan di Sidang Khas Dewan Rakyat, hari ini. – HARAKAHDAILY 28/7/2021

- Advertisement -