Ivermectin mesti mengikuti proses kelulusan standard Malaysia

- Advertisement -

GABUNGAN Kesihatan Malaysia (MHC) sangat menyokong proses saintifik dan peraturan semasa meluluskan ubat-ubatan di Malaysia. Seperti ubat-ubatan lain, proses yang sama dan standard tinggi perlulah dilalui oleh Ivermectin.

Proses saintifik dengan standard yang tinggi adalah asas ‘Evidence-Based Medicine’. Ini adalah kaedah asas bagi profesional kesihatan untuk melindungi keselamatan dan kesihatan pesakit.

- Advertisement -

Kami menggesa perkara berikut:

1. Mengatasi penjualan Ivermectin di pasaran haram atau gelap.

Pada masa ini, Ivermectin tidak diluluskan untuk penggunaan manusia di Malaysia. Namun, kerana tuntutan palsu atau mengelirukan di media dan media sosial, kini terdapat pasaran gelap aktif yang menjual Ivermectin yang tidak berlesen dan berpotensi berbahaya.

Ivermectin dari bekalan haiwan atau sumber yang tidak diketahui dijual dengan harga yang sangat tinggi. Kami menyokong tindakan membanteras Ivermectin yang tidak sah atau gelap, kerana kami menyokong preskripsi ubat yang selamat untuk semua rakyat Malaysia.

2. Luluskan Ivermectin hanya melalui proses NPRA. 

Terdapat tekanan yang besar diberikan kepada Badan Regulatori Farmasi Negara (NPRA), KKM untuk segera meluluskan Ivermectin. Beberapa pendesak Ivermectin bahkan meminta ia segera ‘diedarkan secara besar-besaran’ untuk mengelakkan COVID-19.

Kami menyakini proses kerja NPRA iaitu tiada campur tangan politik atau masyarakat. Maka, Ivermectin mesti diluluskan berdasarkan bukti saintifik perubatan. Ivermectin tidak boleh disetujui berdasarkan ‘permintaan popular’ atau laporan polis. 

Tidak ada negara yang meluluskan Ivermectin untuk merawat atau mencegah COVID-19, termasuk Agensi Ubat Eropah atau Pentadbiran Makanan dan Dadah Amerika Syarikat.

3. Hanya gunakan Ivermectin dalam ujian klinikal. 

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menasihatkan bahawa Ivermectin hanya boleh digunakan dalam ujian klinikal. Di Malaysia, kajian I-TECH sedang berlangsung pada pesakit COVID-19 berisiko tinggi, dan hasilnya diharapkan pada bulan Januari 2022.

Sekiranya terdapat data yang kuat mengenai Ivermectin, maka harus dipersetujui untuk digunakan melalui proses dan standard yang ditetapkan NPRA. 

Sementara itu, penggunaan Ivermectin untuk mengubati diri sendiri atau di luar label (off-label) boleh membahayakan dan boleh mengganggu Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan. Kami sangat yakin bahawa vaksin jauh lebih berkesan untuk mencegah COVID-19 daripada Ivermectin.

Sebagai profesional kesihatan, kita mempunyai kewajipan untuk melindungi kesihatan rakyat. Kita mesti hormat dengan undang-undang dan proses saintifik untuk meluluskan ubat-ubatan di Malaysia. Kami memperjuangkan penggunaan ubat-ubatan yang selamat dan berdasarkan bukti, dan kami menentang penggunaan ubat-ubatan yang tidak sah, tidak selamat atau mengelirukan.

“Berkhidmat Untuk Negara”

GABUNGAN KESIHATAN MALAYSIA (MHC)
Senarai Tandatangan Penuh di myhealthcoalition.org.

Penyataan di atas telah diterjemahkan oleh PHM. Untuk merujuk penyataan asal di dalam Bahasa Inggeris, anda boleh layari laman web MHC seperti di atas. – HARAKAHDAILY 28/7/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/1712327752390423/posts/2985110391778813/

- Advertisement -