Hanya 61.7 peratus rakyat Malaysia daftar vaksin

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Hanya seramai 20,134,971 orang atau bersamaan 61.7 peratus rakyat Malaysia telah mendaftar Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) daripada keseluruhan populasi berjumlah 32.7 juta orang, setakat 26 Julai 2021.

Daripada jumlah itu, 18.8 juta orang merupakan individu dewasa berumur 18 tahun ke atas dan 1.2 juta orang merupakan individu di bawah umur 18 tahun, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Menurutnya, jumlah populasi dewasa yang telah mendaftar adalah 80.5 peratus daripada keseluruhan populasi dewasa di Malaysia.

Manakala bagi golongan warga emas berumur 60 tahun ke atas yang berjumlah keseluruhan 3.5 juta orang, sebanyak 89 peratus telah mendaftar bagi mendapatkan vaksinasi Covid-19 mereka.

“Berdasarkan statistik yang saya sebutkan, jelas sekali jumlah pendaftaran pada ketika ini adalah rendah berbanding sasaran PICK iaitu sebanyak 80 peratus daripada keseluruhan populasi yang perlu divaksin.

“Malah jika dilihat statistik pendaftaran vaksinasi beberapa buah negeri, peratusan pendaftaran adalah rendah berbanding nilai ambang yang ditetapkan di bawah Program Pemulihan Negara untuk sesebuah negeri beralih daripada satu fasa kepada fasa yang lain.

“Walau bagaimanapun, saya menyedari terdapat beberapa negeri yang mungkin menghadapi kekangan pendaftaran disebabkan keadaan geografi dan demografi yang berbeza-beza yang menghadapi kesukaran perhubungan dan akses komunikasi.

“Untuk itu, beberapa strategi dan kaedah telahpun kita rancang dan laksanakan, yang mana saya akan jelaskan sebentar lagi.

“Ini dibuat bagi memastikan tiada sesiapa yang tertinggal daripada mendapatkan vaksinasi mereka yang seterusnya akan membantu untuk memperluas capaian vaksin Covid-19 ini,” ujarnya ketika memberi penerangan di Sidang Khas Dewan Rakyat, hari ini. – HARAKAHDAILY 28/7/2021

- Advertisement -