Buka semula sektor ekonomi secara berperingkat

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KUALA LUMPUR:
Kerajaan wajar membuka semula sektor ekonomi yang dibekukan secara berperingkat di samping memberi fokus program vaksinasi.

Ahli Parlimen Pasir Puteh, Dato’ Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, kepentingan sektor kesihatan tidak dapat dinafikan, namun tekanan terhadap ekonomi turut menyebab berlaku kehilangan nyawa.

- Advertisement -

Katanya perkara itu berlaku kerana ada rakyat yang berdepan dengan tekanan kewangan memandangkan mereka tidak dapat bekerja disebabkan penularan wabak Covid-19.

“Saya tidak nafikan sektor kesihatan penting dan mustahak kerana ia meragut banyak nyawa rakyat. Saya ucap syabas kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berjaya membendung wabak,” katanya pada persidangan khas Dewan Rakyat, semalam.

Bagaimanapun kata beliau tekanan akibat pandemik Covid-19 menyebabkan ada kes bunuh diri bukan kerana mereka tidak mampu berdepan dengan tekanan hidup.

Menurutnya juga ahli-ahli parlimen berdepan dengan situasi itu di mana rakyat datang mengadu tiada wang bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Beliau juga berkata, sektor pertanian antara bidang yang boleh diceburi rakyat ketika berhadapan dengan pandemik Covid-19 sekarang.

“Aktiviti pertanian boleh diteruskan di samping rakyat mendapat manfaat Pelan Jana Semula Ekonomi (PENJANA) yang memperuntukkan RM400 juta kepada sektor tersebut,” ujarnya.

Di bawah PENJANA, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) diperuntuk sebanyak RM400 juta untuk melaksanakan skim pembiayaan mikro kredit yang menawar pinjaman dengan kadar faedah 3.5 peratus untuk tempoh lima tahun.

Di samping itu, program kebun komuniti melalui kaedah pertanian bandar diperuntuk sebanyak RM500 untuk individu dan RM50,000 kepada komuniti.

Manakala program komuditi agro makanan juga menyediakan latihan industri makanan sebanyak RM40 juta.

Nik Zawawi yang juga Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) berkata,
sektor pertanian lebih strategik berbanding bidang lain ketika penularan wabak sekarang.

Beliau turut berharap semua ahli parlimen menggunakan kesempatan berbahas pada persidangan khas itu dengan memberi penumpuan kepada masa depan negara.

“Kalau kita hendak ungkit yang belakang, semua boleh ungkit. Sebanyak 1001 macam kita boleh ungkit tetapi kalau kita ungkit yang telah berlaku tiada gunanya,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 28/7/2021

- Advertisement -