Tidak boleh muak, jemu dalami politik Islam

Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin
- Advertisement -

KANGAR: Umat Islam secara keseluruhan dianggap masih tidak mempunyai tasawur atau gambaran yang jelas mengenai Islam.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin berkata kebanyakan umat Islam hari ini hanya memahami Islam untuk urusan hidup dunia sahaja tidak merangkumi kehidupan di akhirat.

“Kalau diibaratkan anggota badan kita mempunyai tangan, kaki, kepala, pinggang, lutut dan sebagainya dan jika direnung pula pada tangan, kita mempunyai jari.

- Advertisement -

“Bagaimana sekiranya seseorang itu ada tangan tetapi tiada jari, mungkin dia boleh membuat sesuatu tetapi tidak sempurna.

“Begitu juga jika seseorang mempunyai anggota yang sempurna tetapi tidak dapat mendengar atau tidak dapat melihat, sudah tentu kehidupannya juga tidak sempurna,” katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau diminta mengulas tulisan terbaru Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengenai politik tiada kaitan dengan agama, maka politik dirosakkan.

Menurutnya situasi itu menjadi penyakit kronik kepada sekularisme dengan segala ideologi berkaitannya.

Tuan Guru Hashim berkata, politik tidak boleh dipisahkan daripada kehidupan manusia.

“Perkara inilah yang dijalankan pendakwah dalam gerakan Islam untuk meyakinkan supaya manusia melihat kepada tanggungjawab secara menyeluruh.

“Dunia yang Allah ciptakan untuk manusia dan Allah menjadikan manusia untuk kehidupan di akhirat. Pegang perkara ini sebagai asas penting.

“Sebaliknya masih ramai yang tidak merasai perkara itu sehingga timbul persoalan politik bukan sebahagian daripada Islam,” katanya.

Kata beliau juga sekiranya dilihat ahli politik sekarang, bukan sahaja orang muda muak, malah orang tua pun jemu dengan sikap segelintir ahli politik dengan tingkah laku mereka.

Sebaliknya sebagai pejuang Islam tidak boleh mempunyai perasaan muak dan jemu kepada politik Islam kerana ia (politik Islam) ditentukan oleh Allah iaitu berdasarkan tiga asas utama.

“Yang pertama mesti berdasarkan tauhid (mengesakan Allah), apa sahaja yang kita buat mesti merujuk kepada Allah.

“Kedua, Allah yang memberi panduan kepada manusia melalui risalah atau ajaran yang dibawa para Nabi dan Rasul.

“Tidak cukup dengan hanya pengakuan dan risalah yang Allah turunkan tetapi pelaksanaan apa sahaja yang datang daripada Allah. Ini dinamakan sebagai sistem khilafah di atas muka bumi ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/7/2021

- Advertisement -