Semangat Palestin menjalar ke Olimpik Tokyo

Mohamed Abdalrasool

KUALA LUMPUR: Semangat Palestin bukan yang menjalar ke seluruh dunia pada Ramadan lepas, kini turut merebak ke negara matahari terbit ketika berlangsung temasya Olimpik Tokyo 2020.

Atlet dari negara-negara Islam masih lagi sukar untuk melupakan kezaliman rejim Zionis Israel terhadap penduduk Islam di Gaza sehingga lebih 250 nyawa melayang.

Semalam, media melaporkan atlet Sudan, Mohamed Abdalrasool menarik diri daripada berdepan dengan lawan dari Israel, Tohar Butbul di gelanggang judo pada temasya di Jepun itu.

Advertisement

Kejadian yang berlaku itu merupakan kali kedua di Olimpik Jepun di mana minggu lepas atlet Fethi Nourine dari Algeria juga menarik diri.

Dia enggan bertemu Butbul sebagai tanda protes terhadap Israel yang berterusan menindas rakyat Palestin.

Sepatutnya pada aksi semalam, Mohamed Abdalrasool, 28, muncul berdepan dengan Tohar Butbul dalam kelas 73 kilogram.

Sebaliknya beliau tidak memberikan sebab menarik diri daripada pertarungan tersebut, namun sehari sebelum itu muncul pada sesi menimbang berat badan.

Fethi Nourine

Minggu lepas, Fethi Nourine bersama jurulatihnya mengumumkan menarik diri daripada bertanding bagi mengelakkan bertembung dengan atlet dari Israel.

Malah Nourine ketika memberitahu stesen televisyen Algeria, keputusannya menarik diri dianggap tepat, di mana baginya isu Palestin lebih besar daripada yang lain.

Pada Mei lalu, rakyat Palestin yang dilaporkan terkorban akibat serangan udara Israel di Semenanjung Gaza mencecah 253 orang.

Menurut Kementerian Kesihatan Palstin, di Gaza sejumlah 253 penduduk Palestin terkorban termasuk 66 kanak-kanak, 39 wanita dan 17 orang tua, manakala 1,948 cedera, termasuk 20 kritikal. – HARAKAHDAILY 27/7/2021