Marilah kita tunggu Isnin ini

- Advertisement -

KETIKA pandemik Covid-19 masih mencanak naik, pembangkang mengharapkan ada magis untuk mereka. Pakatan Harapan (PH) dan pembangkang bergabung tenaga lagi kali ini.

Pembangkang amat berharap ada undian terhadap Ordinan Darurat. Ia peluang keemasan bagi memperlihatkan Muhyiddin Yassin tiada lagi majoriti.

Apa yang penting dapat mengulang episod undi belah bagi Belanjawan 2021 pada persidangan parlimen akhir tahun lepas. Maka peluang keemasan melalui Ordinan Darurat direbut.

Bagaimanapun hasrat itu tidak menjadi kenyataan apabila kerajaan memberitahu Ordinan Darurat dibatalkan berkuatkuasa 21 Julai lalu.

- Advertisement -

Kata Menteri Undang-Undang dan Parlimen Takiyuddin Hassan, enam Ordinan Darurat sebelum ini berdasar Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan juga dibatalkan.

Berikutan itu kerajaan memutuskan tidak akan menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan Proklamasi Darurat baru selepas 1 Ogos 2021.

Perkara 150(1) memperuntukkan Yang di-Pertuan Agong boleh mengisytiharkan darurat jika baginda berpuas hati suatu darurat besar menyebabkan keselamatan dan ketenteraman awam terancam.

“Oleh kerana telah direvoke, maka isu ungkai atau enakmen sudah tidak lagi relevan,” kata Takiyuddin.

Persidangan khas Dewan Rakyat didakan bermula 26 Julai hingga 2 Ogos ini. Ia juga mendapat perkenan Agong. Manakala sidang Dewan Negara pula diadakan selama tiga hari bermula 3 Ogos.

Sebelum ini kerajaan juga memberitahu sidang khas Parlimen akan memberi penerangan mengenai Pelan Pemulihan Negara (PPN). Selain itu meminda perundangan dan peraturan bagi membolehkan persidangan Parlimen diadakan secara hibrid.

Ordinan Darurat

Bagaimanapun status pembatalan Ordinan Darurat dijadikan medan bagi memperlecehkan kerajaan. Pembangkang silih berganti bangun membangkitkan isu sama.

Hari pertama persidangan membincangkan PPN tidak dimanfaatkan. Sebaliknya mereka bungkam dengan penjelasan menteri parlimen berkaitan Ordinan Darurat.

Rata-rata pembangkang membuat kesimpulan sendiri. Mereka menganggap pembatalan ordinan itu tidak kena pada tempatnya. Malah ada pakar perlembagaan juga mengiyakan pendapat pembangkang.

Kata pakar terbabit, batal Ordinan Darurat sebelum 1 Ogos sebagai langgar perlembagaan.

Bagaimanapun ia berbeza dengan pandangan seorang lagi pakar perlembagaan. Dr Fathi Yusof memberitahu terdapat ada dua bentuk penamatan kuatkuasa Ordinan.

Proklamasi Darurat dan apa-apa ordinan yang dimasyhurkan di bawah Fasal (2B) hendaklah dibentangkan di hadapan kedua-dua Majlis Parlimen jika tidak dibatalkan terlebih dahulu.

Katanya, perkataan ‘dibatalkan’ merujuk kepada kuasa Yang di-Pertuan Agong melalui nasihat jemaah menteri untuk membatalkannya.

“Prosesnya sama seperti kuasa Yang di-Pertuan Agong yang umum berdasarkan Perkara 40 yang memerlukan baginda bertindak berdasarkan nasihat jemaah menteri.

“Manakala perkataan ‘mengungkaikan’ merujuk kepada kuasa Parlimen. Jadi sesuatu Ordinan Darurat akan terhenti berkuatkuasa jika mana-mana tindakan yang berlaku terlebih dahulu, sama ada oleh jemaah menteri atau oleh Parlimen,” katanya semalam.

Kerajaan membatal lebih awal Ordinan tersebut di luar jangkaan pembangkang. Sedangkan mereka berharap dibatalkan di hadapan majlis di Dewan Rakyat.

Isu itu berlanjutan sehingga hari ini. Pembangkang tetap tegar mempertikaikan. Apa pun ternyata pembangkang gagal mengesan perancangan kerajaan.

Namun ketegasan Speaker berjaya meredakan keadaan. Beliau bertalu-talu dihujani desakan yang mahu kepastian sama ada pembatalan Ordinan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong atau sebaliknya.

Azhar berkali-kali menjelaskan Aturan Urusan Mesyuarat dilaksana mengikut perancangan serta masa ditetapkan.

“Saya beritahu menteri perlu menjawab semua soalan yang dibangkitkan pada Isnin ini. Menteri perlu beri penerangan dan prosedur sama ada perkenan Agong atau belum. Marilah kita tunggu Isnin,” katanya.

Pembangkang seperti kehabisan hujah. Sehingga ada dalam kalangan mereka menyifatkan persidangan itu tidak sah kerana tidak dijawab persoalan asas.

Hari ini Menteri Kesihatan Dr Adham Baba memberi penerangan mengenai isu kesihatan. Esok pula Menteri Inovasi Khairy Jamaluddin akan mendedahkan berkaitan program vaksinasi.

Isnin depan baru tiba jawapan isu Ordinan. Tunggulah. Setiap sesuatu ada disiplin dan aturan. Tidak boleh langkau sempadan sehingga mesyuarat jadi kucar kacir.

Pusingan ini nampaknya pembangkang kempunan lagi. – HARAKAHDAILY 27/7/2021

- Advertisement -