Keluarga pelajar asnaf terima bantuan COVID-19

- Advertisement -

BENTONG: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) telah menyampaikan bantuan COVID-19 secara ‘pandu lalu’ kepada ibu bapa dan penjaga pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Sulaiman, di sini.

Program penyerahan bantuan barangan makanan melibatkan 36 wakil keluarga terdiri daripada golongan asnaf yang terkesan dengan pandemik COVID-19 ini diadakan di luar pintu pagar sekolah tersebut, semalam.

- Advertisement -

Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (GPK HEM) SK Sulaiman, Junaidi Mohamad berkata, kaedah pandu lalu adalah cara paling mudah, selamat dan praktikal digunakan dalam situasi norma baharu hari ini.

“Biasanya pihak sekolah menggunakan kaedah ini dalam urusan pemberian bahan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) atau pemulangan buku teks, kali ini ia digunakan untuk pemberian sumbangan COVID-19.

“Terima kasih YADIM, Abrar Care dan PAS DUN Ketari kerana cakna dan prihatin nasib pelajar asnaf kami. Semoga sumbangan ini dapat meringankan beban mereka,” ulasnya pada program yang diadakan dengan kerjasama rakan strategik YADIM Pahang, Abrar Care dan PAS DUN Ketari itu.

Sementara itu, Pengerusi Abrar Care, Ustaz Roslan Mad Esa berkata, di dalam al Quran Allah telah menyebut beberapa golongan orang susah mengikut istilah berbeza seperti, ‘al-fuqara’ (orang-orang fakir) dan ‘al-masakin’ (orang-orang miskin).

Ada juga terangnya, golongan yang dikenali sebagai ‘as-sailin’ (orang yang meminta-minta) dan ada satu lagi golongan disebut sebagai ‘qanaah‘, iaitu merasa cukup dengan setiap yang ada dan tidak mahu meminta-minta walaupun dia susah.

“Ada orang susah tetapi tidak mahu duit, dia mahu kita baiki bumbung rumahnya yang bocor dimasuki air dan ada pula yang mohon dibantu sebab tersepit dengan bebanan hutang keliling pinggang.

“Seboleh-bolehnya kita akan cuba mencari dan menyantuni semua golongan ini. Adakah sama antara golongan B40 dengan M40? Nampak macam sama tapi tak serupa, berbeza periuk serta kerak nasinya.

“Ia memang satu tanggungjawab besar. Jawatan dan amanah yang tersandar di bahu pemimpin adalah ujian berat. Hanya pemimpin beriman dan budiman sahaja mampu menggalasnya kerana mereka meletak Allah di hadapan setiap gerak kerjanya,” ujar Roslan.

Menurut Penyelaras PAS DUN Ketari itu lagi, Kerajaan Perikatan Nasional dengan kerjasama PAS dan badan-badan NGO ini, akan sentiasa berusaha mencari jalan membantu golongan ini kerana setiap yang berhak, perlu ditunaikan hak mereka.

“Misi bantuan COVID ini tak pilih bulu. Semua golongan yang memerlukan kita akan beri. Apa yang mereka berhak dapat, menjadi tanggungjawab pemimpin atau pihak berkuasa menyedia dan memberi,” ulas beliau 

Harapan beliau agar semua pihak kekal istiqamah bersabar dan terus berdoa agar musibah ini segera hilang dan seluruh rakyat dapat menjalani kehidupan seperti sedia kala.

Turut hadir di dalam sessi penyampaian sumbangan, Yang Dipertua PAS Bentong, Khairuddin Abdullah dan Ketua Lajnah Kebajikan PAS Kawasan, Mohammadin Mustaffa. – HARAKAHDAILY 27/7/2021

- Advertisement -