Hanya kerajaan PN bagi komitmen tangani isu doktor

- Advertisement -

Oleh NOR HAZWANI NOH

KUALA LUMPUR:
Tidak adil menuduh masalah doktor yang berstatus kontrak berlaku di zaman kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman berkata, isu itu bermula di zaman kerajaan Barisan Nasional (BN) sejak 2016, berlarutan di zaman kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 2018 sehingga sekarang.

Katanya, hanya kerajaan PN sahaja yang memberi respons kepada doktor kontrak melalui arahan Perdana Menteri kepada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mengemukakan pelan komprehensif menyelesaikan isu terbabit.

- Advertisement -

“Saya secara peribadi menyanjung usaha doktor kontrak yang berani menyuarakan pandangan mereka untuk membela masa depan mereka.

“Inilah kualiti yang ada kepada para doktor yang tidak dimiliki profesyen yang lain,” katanya pada sesi perbahasan penerangan Kementerian Kesihatan di Parlimen petang tadi.

Kata Abdul Latiff, PAS sebagai sebuah parti komponen kerajaan Perikatan Nasional telah mengemukakan cadangan yang boleh dimasukkan dalam pelan komprehensif pada 28 Jun lepas.

“Alhamdulillah Perdana Menteri menerima baik cadangan PAS dan telah dimasukkan dalam arahan kajian oleh KKM,” ujarnya.

Beliau berkata, bagi mengatasi masalah doktor kontrak untuk jangka panjang ia memerlukan perancangan rapi kerana akan memberi impak besar kepada negara.

“Tentu ia tidak boleh dilakukan atas dasar sentimen atau emosi, perlu juga dilakukan secara menyeluruh kerana beban penggajian akan meningkat lebih RM2 bilion setahun dengan jangkaan pertambahan RM250 juta setiap tahun untuk pengambilan seramai 5,000 graduan yang dihasilkan setiap tahun,” katanya.

Beliau turut mengucap terima kasih kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin atas pengumuman rasmi kerajaan pada 23 Julai lepas berkaitan isu terbabit.

“Kenyataan tersebut telah menyatakan komitmen kerajaan untuk mengatasi masalah doktor kontrak dengan informasi yang menyeluruh perkhidmatan kesihatan negara.

“Komitmen itu tidak pernah dilakukan kerajaan sebelum ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/7/2021

- Advertisement -