Azab-Ku sangat pedih dan tidak terperi sakitnya

- Advertisement -

SETIAP pagi dan petang, Nabi S.A.W sentiasa berdoa kepada Allah S.W.T, kerana Nabi S.A.W ingin mengajar kita bahawa setiap kita wajib memohon dan menyandarkan pergantungan hanya kepada Allah S.W.T dalam semua urusan kehidupan kita. 

Nabi S.A.W membaca doa yang bermaksud:

- Advertisement -

“Ya Allah, sihatkanlah tubuh badanku, sihatkanlah pendengaranku dan sihatkanlah penglihatanku. Sesungguhnya tiada Tuhan selain Engkau.”

(Riwayat Abi daud)

Kita tidak tahu apa yang akan terjadi di dalam hidup kita. Kadang-kadang pagi ini kita sihat, tiba-tiba petang kita jatuh sakit. Kadang-kadang petang ini kita masih dapat melihat warna warni kehidupan ini, tiba-tiba pagi esok, bangun tidur penglihatan kita rosak dan kita tidak dapat melihat lagi. Hari ini kita masih boleh mendengar, belum tentu esok kita boleh mendengar lagi. Dengan itu sentiasalah berdoa untuk menunjukkan kefakiran dan rasa kehambaan kita di hadapan Allah S.W.T. Setiap sesuatu apa yang berlaku semuanya dalam izin Allah S.W.T. Dan setiap taubat hanya kepada Allah S.W.T atas dosa-dosa yang sudah kita lakukan dan di atas kejahilan kita.

Azab Allah S.W.T itu sangat pedih dan tiada terperi sakitnya. Firman Allah S.W.T yang maksudnya:

“Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur pasti Aku akan menambah nikmat-Ku kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.”

(Ibrahim: 7)

Kita mesti sentiasa melatih diri agar boleh menerima dan bersyukur atas apa sahaja nikmat atau pemberian daripada Allah S.W.T, sikit atau banyak. Ada di kalangan manusia yang lupa diri, apabila diberi nikmat tidak pernah mahu bersyukur, akhirnya Allah S.W.T memberi ancaman atau musibah kepada mereka sebagai ingatan dari-Nya. Allah S.W.T mengancam bukan kerana benci tetapi kerana sayang kepada manusia. Allah S.W.T memberi tahu mengenai neraka dan dahsyatnya azab neraka itu, agar manusia tidak masuk ke dalamnya. Firman Allah S.W.T yang maksudnya:

“Inilah dua golongan (mukmin dan kafir) yang berbantah-bantahan mengenai Tuhan mereka. Maka orang-orang yang kafir akan disediakan untuk mereka pakaian dari api neraka, serta dicurahkan atas kepala mereka air panas yang menggelegak,”

“Yang dengannya dihancurkan apa yang ada dalam perut mereka, dan juga kulit badan mereka.”

“Dan mereka pula disediakan batang-batang besi untuk menyeksa mereka.”

“Tiap-tiap kali mereka hendak keluar dari neraka itu, disebabkan mereka menderita azabnya, mereka dikembalikan padanya, serta dikatakan: “Rasalah kamu azab seksa yang membakar!”

(al-Hajj: 19-22)

Peperangan antara kebenaran dan kekafiran akan sentiasa ada dan tidak akan berhenti hingga kiamat. Ada orang beriman dan ada orang kafir. Orang-orang kafir disediakan bagi mereka pakaian dari api neraka, masya-Allahpedihnya seksa neraka. Kepalanya disirami dengan air panas yang menggelegak dan semua yang ada di dalam perutnya hancur terburai, kenapa? Kerana semasa di dunia dia keras kepala di depan perintah Allah S.W.T. Diberitahu, bahawa Allah S.W.T itu Esa, Allah S.W.T tidak mempunyai anak, mereka menolak. Ingatlah! Kalau Allah S.W.T marah!, Allah S.W.T tidak main-main. Di ketika mereka berlari untuk keluar dari kepedihan dan kedahsyatan bentuk azab itu, ditangkap mereka dan dikembalikan mereka kepada azab yang pedih membakar tersebut. 

Jadi jangan meremehkan dosa. Jangan berolok-olok dengan dosa. Dan pintu neraka itu ada tujuh pintu untuk pendosa-pendosa memasukinya. Firman-Nya yang bermaksud:

“Dan sesungguhnya neraka Jahannam itu, tempat yang dijanjikan bagi sekalian mereka (yang tidak mahu beriman dengan Allah dan hari akhirat).”

“Ia mempunyai tujuh pintu; bagi tiap-tiap sebuah pintu ada bahagian yang tertentu dari mereka (yang sesat dan menyesatkan itu).”

(al-Hijir: 43–44)

Seperti juga Allah S.W.T katakan dalam surah al-Humazah ayat 1-9 yang bermaksud:

“Kecelakaan besar bagi tiap-tiap pengumpat, memaki, pencela.”

“Yang mengumpulkan harta dan berulang-ulang menghitung kekayaannya.”

“Ia menyangka bahawa hartanya itu dapat mengekalkannya atau memanjangkan umurnya (dalam dunia ini)!”

“Tidak! Sesungguhnya dia akan dicampakkan ke dalam ‘Al-Hutamah’.

“Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui, apa dia ‘Al-Hutamah’ itu?”

“(Al-Hutamah) ialah api Allah yang dinyalakan (dengan perintahNya),”

“Yang naik membakar ke hati atau jantung.”

“Sesungguhnya api neraka itu ditutup rapat atas mereka (Agar tidak ada yang dapat keluar dari azab ini).”

“(Mereka terikat di situ) pada batang-batang palang yang melintang panjang.”

(al-Humazah: 1-9)

Kenapa diancamkan kecelakaan besar bagi pengumpat dan yang seumpama dengannya? Kerana orang beriman, kalau ada orang berbuat salah, mereka tidak mengumpat, menyerangnya, mencacinya dan menyebarkannya di media sosial segala aib pesalah sama ada dengan tangan atau lisannya tetapi mereka menasihatinya kerana agama ini nasihat. Kita semua melakukan dosa.

Harta dikumpulkan tetapi tidak digunakan untuk manfaat orang lain seperti bersedekah kepada fakir miskin dan anak yatim, menyumbang kepada mangsa malapetaka, menyumbang kepada mangsa peperangan yang tidak pernah berakhir, menginfak kepada pembangunan pusat-pusat pendidikan dan lain-lain lagi, sehingga hal ini nanti menjadikan mereka minta tangguh ajalnya seketika untuk mereka belanjakan harta terkumpul itu di jalan Allah S.W.T, tetapi di ketika itu sudah terlambat. Bila ajal sudah sampai, tidak akan tercepat atau terlewat walaupun sedikit. Penyesalan sudah tidak berguna.

Masya-Allah, lindungi kita semua dari azab yang dahsyat ini. Aamiin. Dan Allah S.W.T sambung lagi di dalam Surah al-Maarij ayat 15–18 yang bermaksud:

“Tidak sekali-kali (sebagaimana yang diharapkannya)! Sesungguhnya neraka (yang disediakan baginya) tetap menjulang-julang apinya,”

“(Membakar serta) menggugurkan kulit ubun-ubun dan anggota anggota tubuh badan,’

“Neraka itu juga memanggil dan menarik orang yang membelakangi serta berpaling (dari kebenaran),”

“Dan yang mengumpulkan harta kekayaan lalu menyimpannya (dengan tidak membayar zakatnya).”

(al-Maarij: 15–18)

Api neraka itu dihidupkan sehingga tahap gelap gelita. Ya Allah lindungilah kami dari azab neraka. Perbagai usaha dakwah telah dilakukan oleh individu dan kumpulan pendakwah Islam untuk mengajak manusia kepada Allah S.W.T dan agama-Nya. Tetapi ramai di kalangan manusia cuma memandang sepi tanpa peduli dan berpaling dengan pelbagai alasan yang dangkal. Mereka hanya peduli pada agama di waktu-waktu tertentu sahaja, umpamanya ketika mahu menikah, bercerai, kematian, harta pusaka, sambutan hari raya, korban tetapi yang lainnya tidak mahu ikut agama. Yang ada di benak mereka untuk menghimpun harta dan menyimpannya. Untuk dunia mereka sanggup lakukan apa sahaja semaksima kemampuan yang ada tetapi untuk berdiri tegak mendirikan solat dan menutup aurat contohnya, mereka tidak berdaya dan tidak mampu, terlalu berat. Sedangkan inilah nanti yang akan menyelamatkan mereka dari azab pedih neraka. Masya-Allah.

Rasulullah S.A.W pernah berdiri di mimbar di hadapan Sahabat-sahabatnya generasi terbaik dalam Islam dan berpidato yang bermaksud:

“Aku peringatkan kalian dengan adanya api neraka.”

Pesanan Nabi kepada Sahabat-sahabatnya bahawa neraka itu ada, agar mereka takut kepada api neraka. Sebab inilah yang akan memotivasikan kita dalam meninggalkan kemaksiatan dan untuk mendekatkan diri kepada Allah S.W.T. Azab Allah S.W.T itu ada dua macam. Ada azab yang dekat di dunia. Dan ada azab yang besar seperti yang telah diceritakan di atas. Buat pelaku dosa Allah S.W.T ancam dengan dua azab. Sebelum Allah S.W.T timpakan azab besar di akhirat, Allah S.W.T timpakan azab di dunia agar mereka tersentap dan kembali kepada Allah S.W.T dan ingat kepada Allah S.W.T. Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

“Dan demi sesungguhnya, Kami akan merasakan mereka sedikit dari azab dunia (Dekat) sebelum azab yang besar (di akhirat kelak), supaya mereka kembali bertaubat kepada Allah S.W.T.”

(al-Sajdah: 21)

Dan firman Allah S.W.T yang bermaksud:

“Oleh itu, janganlah engkau tertarik hati (kagum) kepada harta benda orang kafir dan anak-anak mereka, (kerana) sesungguhnya Allah hanya hendak menyeksa mereka dengan harta benda dan anak-anak itu dalam kehidupan dunia, dan hendak menjadikan nyawa mereka tercabut sedang mereka berkeadaan kafir (untuk mendapat azab akhirat pula).”

(at-Taubah: 55)

Allah S.W.T mengingatkan, jangan kagum terhadap harta dan anak-anak orang kafir kerana Allah S.W.T mahu mengazab mereka. Harta itu bukan nikmat bagi mereka tetapi azab. Mereka terlalu takut dan bingung kerana terlalu banyaknya harta, perasaan ini sebenarnya azab buat mereka dan mereka adalah manusia yang derhaka dan ingkar. Dan di antara kedua golongan ini, ada golongan ketiga iaitu orang munafik. Mereka ini dua wajah. Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

“Dan apabila mereka bertemu dengan orang-orang yang beriman, mereka berkata: “Kami telah beriman”, dan manakala mereka kembali kepada syaitan-syaitan mereka, mereka berkata pula: “Sesungguhnya kami tetap bersama kamu, sebenarnya kami hanya memperolok-olok (akan orang-orang yang beriman)”.

“Allah (membalas) memperolok-olok, dan membiarkan mereka meraba-raba dalam kesesatan mereka (yang melampaui batas itu).”

“Mereka itulah orang-orang yang membeli kesesatan dengan meninggalkan petunjuk; maka tiadalah beruntung perniagaan mereka dan tidak pula mereka beroleh petunjuk hidayah.”

(al-Baqarah: 14–16)

Dan firman Allah S.W.T yang bermaksud:

“Dan di antara orang-orang yang di sekeliling kamu dari orang-orang ‘A’raab’ ada yang bersifat munafik dan (demikian juga) sebahagian dari penduduk Madinah; mereka telah berkeras dengan sifat munafik, engkau tidak mengetahui mereka (bahkan) Kamilah yang mengetahui mereka. Kami akan azabkan mereka berulang-ulang, kemudian mereka dikembalikan kepada azab yang besar.”

(at-Taubah: 101)

Kita tidak mengenali yang mana satu orang munafik kecuali Allah S.W.T. Tetapi kita dapat mengenali mereka hanya dari ucapan mereka. Allah S.W.T akan mengazab mereka dua kali. Ibnu Juraij mengatakan:

“Iaitu azab di dunia dan azab di dalam kubur. Baru kemudian mereka akan dikembalikan kepada azab yang dahsyat, neraka.”

Semasa di dunia ini, umat manusia diazab seperti juga azab-azab ke atas orang yang terdahulu seperti banjir, gempa bumi, Tsunami, kebakaran dan lain-lain dan begitu juga untuk individu.

Sakit yang menimpa kita, mungkin juga itu azab atau mungkin juga pengangkat darjat kita. Azab yang menimpa umat Nabi Nuh, berupa azab menyeluruh dan azab yang menimpa Qarun, berupa azab perseorangan. Azab itu ada yang boleh dilihat dan ada juga dalam bentuk dirasakan. Hati yang tidak mahu mendengar nasihat adalah azab, doa yang tidak dikabulkan juga azab, syaitan yang menguasai diri juga azab dan hati yang degil juga azab. Kadang-kadang Allah S.W.T menyegerakan azab, contohnya sedang berhibur di pantai, tiba-tiba datang Tsunami gelombang besar yang menelan dan membinasakan semuanya.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

“Patutkah penduduk negeri negeri itu (bersedap hati) serta merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada malam hari, semasa mereka sedang tidur?”

“Atau patutkah penduduk negeri-negeri itu (bersedap hati) serta merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada siang hari, semasa mereka sedang leka bermain-main?”

(al-‘Araf: 97-98)

Azab yang Allah turunkan kepada Firaun semasa di dunia. Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

“(Allah berfirman): Kami pun menghantarkan kepada mereka taufan, dan belalang, dan kutu, dan katak, dan darah, sebagai tanda-tanda dan bukti yang jelas nyata, maka mereka juga tetap berlaku sombong takbur dan menjadi kaum yang menderhaka.”

“Dan apabila azab yang tersebut itu menimpa mereka, mereka (merayu dengan) berkata: “Wahai Musa! Pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami dengan (kehormatan) pangkat Nabi yang diberikanNya kepadamu (yang menjadikan permohonanmu sentiasa makbul). Sesungguhnya jika engkau hapuskan azab itu daripada kami, tentulah kami akan beriman kepadamu, dan sudah tentu kami akan membebaskan kaum Bani Israil (pergi) bersamamu”

“(Tuhan berfirman): Setelah Kami hapuskan azab itu daripada mereka, hingga ke suatu masa yang tertentu yang mereka sampai kepadanya, tiba-tiba mereka mencabuli janjinya”

“Maka Kami pun membalas mereka, lalu Kami menenggelamkan mereka di laut dengan sebab mereka mendustakan ayat-ayat Kami dan mereka sentiasa lalai daripadanya.”

(al-‘Araf: 133)

Dan di dalam kubur sudah 3,000 tahun mayat Firaun diazab. Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

“Mereka didedahkan kepada bahang api neraka pada waktu pagi dan petang (semasa mereka berada dalam alam Barzakh); dan pada hari berlakunya kiamat (diperintahkan kepada malaikat): “Masukkanlah Firaun dan pengikut-pengikutnya ke dalam azab seksa api neraka yang seberat-beratnya!”

(Ghafir: 46)

Sebahagian balasan dilambatkan Allah S.W.T datangnya semasa di dunia ini, sehingga sebahagian orang yang berbuat dosa terlihat semakin kaya raya dan berkuasa. Sepertinya Allah mencintai mereka. Perniagaan mereka selalu berjaya dan apa sahaja yang mereka usahakan semuanya berjaya sedangkan di mana-mana sahaja terlihat umat Islam dalam keadaan miskin dan dikuasai, sedang mereka beriman. Orang yang ingkar cuma dilambatkan azab bagi mereka tetapi azab itu tetap akan menimpa mereka, kalau tidak di dunia, di akhirat kelak. Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

“Maka apabila datang (masa perlaksanaan) perintah Kami, Kami jadikan negeri kaum Lut itu diterbalikkan (tertimbus segala yang ada di muka buminya) dan kami menghujaninya dengan batu-batu dari tanah yang dibakar, menimpanya bertalu-talu.”

(Hud: 82)

Sekarang di mana-mana ada tersiar berita mengenai Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) berleluasa dan aktif sama ada di dalam negara atau di luar negara. Di mana azab Allah S.W.T? Jangan diminta azab Allah S.W.T. Dan jangan berasa gembira bagi pelaku LGBT atas perbuatan keji mereka tanpa diturunkan azab oleh Allah S.W.T ke atas mereka. Moga Allah S.W.T melindungi negara kita dari perbuatan keji ini. Azab ini tidak di dunia sahaja tetapi Allah S.W.T akhirkan di akhirat kelak. Di dunia tidak diazab. Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

“Dan janganlah engkau berdukacita (wahai Muhammad), disebabkan orang-orang yang segera menuju kepada kekafiran, kerana sesungguhnya mereka tidak sekali-kali akan dapat mendatangkan bahaya kepada Allah sedikitpun. Allah menetapkan tidak akan memberikan kepada mereka (balasan baik syurga) pada hari akhirat kelak, dan mereka pula beroleh azab seksa yang amat besar.”

“Sesungguhnya orang-orang yang membeli (memilih) kufur dengan meninggalkan iman tidak sekali-kali mereka akan dapat mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun, dan mereka pula beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.”

“Dan jangan sekali-kali orang-orang kafir menyangka bahawa Kami membiarkan (mereka hidup lama) itu baik bagi diri mereka; kerana sesungguhnya Kami biarkan mereka hanyalah supaya mereka bertambah dosa (di dunia), dan mereka pula beroleh azab seksa yang menghina (di akhirat kelak).”

(ali-Imran: 176-178)

Nabi S.A.W sendiri melihat manusia cenderung dan kagum kepada cara hidup orang-orang kafir. Nabi S.A.W berdakwah di Makkah selama13 tahun dan Beliau serta para Sahabat disakiti oleh penduduk Makkah. Abu Jahal dan Abu Lahab dan pengikutnya hidup dalam kemewahan dan berkuasa di Makkah. Orang-orang kafir akan diberikan mengikut apa yang mereka usahakan semasa di dunia sahaja, sebab mereka di akhirat kelak tidak akan diberikan apa-apa kecuali azab yang pedih. Di Makkah Nabi S.A.W dipulau selama 3 tahun. Orang Islam hidup susah dan diseksa. Lalu Allah S.W.T menghiburkan hati Rasulullah S.A.W dengan berpesan kepada Beliau, dalam ayat di atas.

Sebahagian orang kafir mengira ketika azab itu tidak turun, mereka menganggap bahawa ini adalah kebaikan dan kenikmatan bagi mereka. Sebab itu Allah S.W.T ingatkan dalam surah ali-Imran ini bahawa Allah S.W.T mengakhirkan azab buat mereka, sedangkan Allah S.W.T membiarkan mereka terus berbuat dosa dan menimpakan mereka azab yang menghinakan di akhirat kelak. Jadi jangan kagum kepada mereka dan jangan mengikut cara hidup mereka.

Tetapi bagi orang Islam yang beriman, azab dan ujian semasa di dunia ini adalah sebagai tanda kasih sayang Allah S.W.T kepada mereka. Ujian dan musibah inilah, selalunya mengingatkan mereka kepada Tuhan. Mereka akan kembali kepada Allah S.W.T untuk bertaubat dan memperbaiki diri serta mensucikan hati. Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

“Adakah mereka menyangka bahawa apa yang Kami berikan kepada mereka dari harta benda dan anak-pinak itu.”

“(Bermakna bahawa dengan yang demikian) Kami menyegerakan untuk mereka pemberian kebaikan? (Tidak!) Bahkan mereka tidak menyedari (hakikatnya yang sebenarnya mereka sedang dilupakan atau ditinggalkan oleh Allah S.W.T).”

(al-Mukminun: 55-56)

Dalam ayat ini, Allah S.W.T bertanya kembali, apakah pemberian anak-anak dan harta benda kemewahan kepada orang yang kafir ingkar itu berupa kemuliaan dan kehormatan mereka di sisi Allah S.W.T? Tidak!, sebenarnya bukan seperti yang mereka dugakan. Allah S.W.T sengaja memberikan semua kehendak mereka sebagai istidraj dan penangguhan dari Allah S.W.T terhadap mereka. Allah S.W.T akan menarik mereka secara beransur-ansur ke arah kebinasaan kepada azab yang mereka tidak ketahui. 

Jadi Allah mengingatkan kita bahawa kita tidak usah takut dan bersedih di atas kejayaan dan kekuasaan orang-orang kafir di negara-negara mereka dan walaupun mereka menjadi kuasa-kuasa kuat dan besar dunia sekarang ini. Umat Islam mesti merasa mulia diri dengan Islam, agama yang satu-satunya Allah S.W.T reda. Umat Islam mesti memiliki simpulan aqidah yang kuat di dalam hati agar teguh pendirian dalam berhadapan dengan apa sahaja pengaruh dan godaan dunia di luar sana yang terdedah dengan kemajuan dunia tanpa sempadan. Umat Islam mesti menjadikan semua kemajuan teknologi yang ada sekarang ini untuk memajukan diri dan melebar luaskan ajaran Islam dan cara hidup Islam ke pelosok dunia. Sekarang bukan masa untuk bersedih dan merasa kekurangan. Umat Islam hebat sebab mereka beriman kepada Allah S.W.T dan Nabinya yang hebat, Malaikat, al-Quran, dan beriman kepada hari kiamat dan takdir buruk dan baik. Alhamdulillah. Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

“Jangan sekali-kali engkau (wahai Muhammad) terpedaya oleh usaha gerakan orang-orang yang kafir (Kuasa-kuasa mereka) di dalam negeri (yang membawa keuntungan-keuntungan kepada mereka).”

“(Semuanya) itu hanyalah kesenangan yang sedikit, (akhirnya akan lenyap), kemudian tempat kembali mereka neraka Jahannam: dan itulah seburuk-buruk tempat ketetapan.”

(ali-Imran: 196-197)

Allah S.W.T tidak menzalimi hamba-hamba-Nya. Begitu juga kepada Non Muslim, apabila mereka membuat sebarang usaha kebaikan untuk diri mereka atau manfaat orang lain, Allah S.W.T akan sempurnakan kehendak mereka tetapi semua kebaikan yang mereka telah lakukan semasa di dunia akan berguguran dan di akhirat nanti mereka sudah tidak punya apa-apa. Yang tinggal kepada mereka cuma azab Allah S.W.T. Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

“Sesiapa yang keadaan usahanya semata-mata berkehendakkan kehidupan dunia dan perhiasannya (dengan tidak disaksikan sama oleh al-Quran tentang sah batalnya), maka Kami akan sempurnakan hasil usaha mereka di dunia, dan mereka tidak dikurangkan sedikitpun padanya.

“Merekalah orang-orang yang tidak ada baginya pada hari akhirat kelak selain daripada azab neraka, dan pada hari itu gugurlah apa yang mereka lakukan di dunia, dan batallah apa yang mereka telah kerjakan.”

(Hud: 15-16)

Jadi kita mesti berhati-hati. Ada orang, Allah S.W.T tidak timpakan azab kepadanya di atas kesilapan dan dosa-dosanya dan ini tidak bermakna Allah S.W.T reda kepada mereka. Tetapi sebagai tanda Allah S.W.T telah melupakan dan meninggalkan mereka. Jadi kita mesti muhasabah diri. Dan Allah telah menentukan takdir-Nya. Kita wajib menerimanya. Azab Allah S.W.T itu pasti datang kepada mereka yang melakukan kezaliman sedangkan mereka tidak bertaubat. Contohnya Nabi Nuh berdakwah selama 950 tahun dan pengikutnya cuma 92 orang. Selepas 950 tahun baru Allah S.W.T turunkan azab berupa banjir besar yang menenggelamkan semua kecuali bahteranya. Jadi jangan melihat pada kecilnya dosa yang kita lakukan tetap lihatlah kepada siapa kita berbuat dosa. Bertaubatlah dan kembali kepada Allah S.W.T. Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

“Dan kembalilah kamu kepada Tuhan kamu dengan bertaubat, serta berserah bulat-bulat kepadaNya, sebelum kamu didatangi azab; kerana sesudah itu kamu tidak akan diberikan pertolongan.”

(az-Zumar: 53–54)

Lihatlah kaum Nabi Nuh, kaum Nabi Lut, kaum Nabi Soleh. Kaum Nabi Hud dan Kaum Firaun. Di mana mereka? Hanya tinggal cerita sahaja. Bila lagi manusia yang ingkar mahu beriman? Atau masih menunggu sahaja, menunggu ketetapan Allah S.W.T. Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

“(Kami tetap akan membinasakan orang-orang yang menentangmu wahai Muhammad), tidakkah engkau perhatikan, bagaimana Tuhanmu telah melakukan terhadap kaum Aad (yang kufur derhaka).

“Iaitu penduduk ‘Iram’ yang mempunyai bangunan-bangunan yang tinggi tiangnya, (sesuai dengan penduduknya).

“Yang belum pernah diciptakan sepertinya (mengenai besar dan kukuhnya) di segala negeri (pada zamannya)?

“Dan (terhadap) kaum Thamud yang memahat batu-batu besar di lembah (Wadil-Qura iaitu tempat tinggalnya)?

“Dan (terhadap) Firaun yang menguasai bangunan-bangunan yang handal kukuh?

“(Semuanya itu ialah) orang-orang yang telah bermaharajalela di negeri (masing-masing).

“Lalu mereka melakukan dengan banyaknya kerosakan dan bencana di negeri-negeri itu.

“Dengan yang demikian, Tuhanmu mencurahkan ke atas mereka berbagai paluan azab;

“Sesungguhnya Tuhanmu tetap mengawas dan membalas, (terutama balasan akhirat).”

(al-fajr: 6-14)

Kesimpulan

Marilah kita semua belajar dan belajar sehingga kita faham mengenai agama kita. Dan marilah kita berdoa dengan penuh pengharapan supaya Allah S.W.T lindungi diri kita, keluarga kita, jiran tetangga, sahabat-sahabat kita dan sesiapa sahaja yang kita kenali dan sayangi daripada menjadi bahan bakaran azab api Neraka. Ingatlah, azab Allah S.W.T sangat pedih dan tidak terperi sakitnya. Sesungguhnya, tiada seorang pun di kalangan makhluk Allah ini mampu menahan azab Allah S.W.T. Api neraka dipenuhi seluruhnya dengan api luar biasa kepanasannya yang marak menyala yang membuatkan penghuninya tidak mampu melarikan diri.

Ibnu Mas’ud mengatakan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:

“Jika seseorang kamu bertasyahud (Bertasyahud akhir dalam solat sebelum memberi salam), maka hendaklah dia memohon perlindungan kepada Allah S.W.T daripada empat perkara iaitu: Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari seksa neraka Jahannam, dari siksa kubur, dari fitnah kehidupan dan kematian serta dari keburukan fitnah Dajal (Allahumma inni audzubika min adzabi Jahannam, wa min adzabil qabri, wa min fitnati al mahya wal mamati, wa min syarri fitnati al masiihi ad Dajali).”

(Riwayat Muslim)

Wallahu ‘lam

FARIDAH KAMARUDDIN – HARAKAHDAILY 27/7/2021

- Advertisement -