Vaksinasi capai 80 peratus rakyat boleh pilih kerajaan

KOTA BHARU: Parti kompenan dalam Perikatan Nasional (PN) merupakan kerajaan sementara menggantikan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan yang hanya memerintah negara selama 22 bulan.

Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, pentadbiran yang dipimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin berusaha untuk mengembalikan semula mandat kepada rakyat.

Menurutnya, perubahan pentadbiran negara berlaku apabila Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan peletakan jawatan Perdana Menteri sebelum diganti oleh Perikatan Nasional.

Advertisement

“Dalam suasana ini berlaku perletakan jawatan Perdana Menteri, dan akhirnya untuk menyelamatkan keadaan itu semua parti dalam kerajaan setuju membentuk kerajaan sementara.

“Kita setuju untuk mengembalikan mandat kepada rakyat untuk adakan pilihan raya umum, tetapi dalam kita sedang merancang berlaku pandemik Covid-19 pada Mac 2020,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ceramah maya isu semasa yang disiarkan secara langsung melalui Kelantan TV malam tadi yang turut menampilkan ketua Penerangan PAS Pusat Kamaruzaman Mohamad.

Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar berkata, bagi menyekat penularan wabak Covid-19 kerajaan terpaksa melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga melupakan seketika hasrat diadakan Pilihan Raya Umum (PRU).

“Walaupun sering diasak pembangkang dengan dakwaan kerajaan gagal, namun kerajaan tetap dengan pendirian bahawa penyerahan mandat rakyat ketika pandemik tidak boleh dilaksanakan.

“Semua parti dalam kerajaan tahu hakikat kerajaan sekarang sementara sahaja, tetapi kita tidak boleh kembalikan mandat dalam suasana yang ada sekarang.

“Perdana Menteri pun sudah banyak kali menyatakan jika vaksinasi boleh capai sehingga 80 peratus kerajaan akan menyerahkan mandat untuk rakyat buat pilihan sewajarnya,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/7/2021