PPN: Tumpuan kerajaan lebih berfokus

- Advertisement -

Oleh EVA NATASHA SADALI

KUALA LUMPUR: Kerjasama seluruh anggota masyarakat perlu digembleng bagi mengawal penularan jangkitan pandemik Covid-19 melalui langkah-langkah tertentu yang juga fokus utama Pelan Pemulihan Negara (PPN), kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurutnya berdasarkan data global, meskipun purata kadar kematian berpunca dari jangkitan Covid-19 di negara ini sebanyak 0.7 peratus daripada 2.2 peratus keseluruhan kes, namun langkah pencegahan perlu diambil dengan serius.

- Advertisement -

“Berdasarkan laporan Ketua Pengarah Kesihatan, didapati lebih 98 peratus daripada pesakit Covid-19 di negara kita tidak bergejala atau hanya bergejala ringan. Dengan itu, kadar pemulihan di negara kita pada masa ini agak tinggi iaitu sebanyak 87 peratus,” katanya.

Bagaimanapun tegasnya, ancaman Covid-19 terhadap kesihatan serta keselamatan rakyat perlu diambil serius menerusi langkah-langkah yang ditetapkan.

Antaranya melalui pemerkasaan ujian saringan, pengesanan kontak dan langkah pengasingan bagi memutuskan rantaian penularan wabak.

Selain itu katanya, dengan meningkatkan kapasiti sistem penjagaan kesihatan termasuk mengoptimakan kapasiti hospital pengajar universiti, kapasiti di bawah Kementerian Pertahanan dan juga melalui penyumberan luar ke hospital swasta dapat mengurangkan kadar morbiditi dan kematian.

Di samping itu, usaha kerajaan bagi melindungi kesihatan rakyat secara keseluruhan dengan menyediakan sokongan yang mencukupi bagi keperluan selain Covid-19 juga antara langkah-langkah yang perlu diambil.

Ujarnya, kerajaan juga menyedari impak pandemik kepada aspek kesihatan mental rakyat Malaysia.

“Oleh itu, langkah-langkah khusus telah diambil bagi menyelesaikan cabaran yang dialami rakyat berkaitan isu kesihatan mental seperti mewujudkan talian sokongan psikososial di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia dan penyaluran dana kepada NGO berkaitan kesihatan mental,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Pelan Pemulihan Negara pada sidang khas Dewan Rakyat disini, hari ini. – HARAKAHDAILY 26/7/2021

- Advertisement -