PICK, patuh SOP kunci utama bebas sekatan PKP

- Advertisement -

KOTA BHARU: Sambutan terhadap Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) merupakan kunci utama bebas daripada sekatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Penerangan PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad berkata, hanya dua kaedah tersebut mampu memberi jawapan kehidupan rakyat terus dikongkong akibat Covid-19.

“Hanya ada dua kaedah sahaja yang boleh mengatasi wabak, pertama program vaksinasi kerana di negara Eropah sudah mengangkat sekatan kerana herd immunity sudah tercapai.

- Advertisement -

“Kedua ialah pematuhan kita terhadap SOP yang ditetapkan, apabila kedua-dua perkara tersebut tercapai, di mana akan memberi ruang yang lebih besar untuk meneruskan kehidupan seperti biasa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ceramah maya isu semasa yang disiarkan secara langsung oleh Kelantan TV malam tadi yang turut menampilkan Naib Timbalan Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah.

Kamaruzaman berkata, pada Julai sahaja sebanyak 14 juta suntikan vaksin Covid-19 telah diberikan kepada rakyat bagi memastikan hasrat herd immunity tercapai pada tahun ini.

Malah katanya kerajaan Perikatan Nasional (PN) terus berusaha untuk menambah pembelian vaksin dari pelbagai sumber bagi membolehkan negara mempertingkatkan kadar pemberian vaksinasi.

“Sehingga kini kita (Malaysia) menjadi antara negara yang terpantas memberi suntikan vaksin di dunia, ini menunjukkan bagaimana komitmen kerajaan bagi memastikan hasrat itu tercapai.

“Pusat Pemberian Vaksin (PPV) secara Outreach terus ditambah selain penglibatan hospital dan klinik swasta, betapa serius kerajaan dalam menangani wabak Covid-19,” kata beliau.

Beliau berkata, PAS juga menyambut baik saranan Yang Dipertuan Agong agar semua rakyat dan pemimpin pembangkang menghenti sentimen politik ketika negara sedang bertarung dengan wabak.

Kerajaan terpaksa memberi kebenaran kepada sektor penting, katanya, yang mampu menjana pendapatan kepada negara bagi menampung operasi pencegahan Covid-19 dalam kalangan rakyat.

“Baginda pernah bertitah supaya semua rakyat fokus terhadap usaha kerajaan sekarang dalam menangani penularan wabak, hentikan politik berlebihan yang menganggu tumpuan kerajaan.

“Sektor penting inilah yang memberi pendapatan kepada kerajaan dalam usaha menyekat pandemik, hari ini kejayaan kita hanya bergantung kepada dua faktor tersebut,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/7/2021

- Advertisement -