Penduduk bawah PKPD di Ketari terima bantuan PAS

- Advertisement -

BENTONG: PAS DUN Ketari telah menggerakkan usaha agihan bantuan barangan makanan kepada penduduk yang berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Flat Taman Benus Jaya, di sini kelmarin.

Penyelaras PAS DUN Ketari, Ustaz Roslan Mad Esa memberitahu, terdapat 42 keluarga merupakan kontak rapat pesakit positif COVID-19 dan masing-masing sedang menunggu keputusan ujian calitan atas mereka.

- Advertisement -

Menurutnya, penduduk terbabit telah berkurung hampir sebulan setelah PKPD diperintahkan sejak 30 Jun lalu dan sepatutnya tamat 13 Julai, namun terpaksa dilanjutkan lagi sehingga 27 Julai akan datang.

“PAS DUN Ketari sudah dua kali turun ke flat ini. Cuma kali ini kami hadir dengan jumlah dan nilai bantuan barangan makanan seperti beras dan keperluan harian lain dengan kapasiti yang agak besar.

“Mereka yang terlibat dalam PKPD ini adalah pekerja kilang anak tempatan dan warga asing yang telah kehilangan sumber pendapatan akibat tidak boleh keluar bekerja.

“Semoga bantuan yang diberi ini dapat membantu meringankan beban mereka dan salah satu usaha untuk mengekang daripada berlakunya masalah-masalah lain seperti jenayah dan sebagainya,” ujar Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Bentong itu.

Jelas beliau lagi, PAS DUN Ketari sentiasa siap siaga membantu sesiapa sahaja dalam DUN ini yang berada di dalam kesusahan dan memerlukan bantuan berikutan terjejas dengan keadaan ketika ini.

“Dalam tempoh ini semua orang amat sensitif, khususnya orang susah. Kita perlu saling ambil tahu dan peduli antara satu sama lain, anak kepada ibu bapanya, jiran sesama jiran dan pemimpin terhadap rakyat.

“Kami hadir bukan sekadar menjinjing barang makanan, tetapi turut menggendong jiwa yang sarat dengan simpati dan empati terhadap saudara-saudara kami yang berada di dalam kesusahan.

“Sabda Nabi S.A.W, “Allah akan menolong seorang hamba, selama hamba itu senantiasa menolong saudaranya”,” ulas beliau.

Selain penduduk terlibat, sumbangan turut diagihkan kepada para petugas Polis Diraja Malaysia (PDRM), RELA dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) yang berjaga di pondok kawalan sekatan jalan raya (SJR), kawasan PKPD tersebut.

Turut serta di dalam ziarah ini adalah Ketua Pemuda PAS Bentong, Muhammad Naqib Sahimi dan beberapa orang wakil PAS Kawasan Bentong. – HARAKAHDAILY 26/7/2021

- Advertisement -