Pelan Anti-Rasuah KASA wajar jadi contoh

KUALA LUMPUR: Pelan Anti-Rasuah Organisasi (OACP) 2021-2025 seperti yang dilaksanakan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) wajar dijadikan contoh kepada semua pihak.

Naib Presiden PAS, Senator Ustaz Idris Ahmad berkata, agenda memerangi rasuah sepatutnya dijadikan perkara utama yang perlu dititikberatkan di setiap peringkat.

Katanya agenda itu perlu menjadi keutamaan sama ada organisasi bukan kerajaan (NGO), syarikat korporat, agensi dan jabatan kerajaan serta peringkat kementerian.

“Seperti mana yang saya pernah tekankan sebulan lalu perlu mencontohi Pelan Anti-Rasuah Organisasi (OACP) 2021-2025 seperti yang dilaksanakan KASA,” katanya pada kenyataan di sini hari ini.

Advertisement

Pada 24 Jun lepas KASA melancarkan Pelan Antirasuah Organisasi KASA 2021-2025 (OACP) bagi menyahut seruan kerajaan untuk menghapuskan rasuah terutama berkaitan aktiviti penguatkuasaan terhadap isu alam sekitar.

Menteri KASA Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pihaknya berharap OACP dapat dijadikan panduan penting kepada warga kerja kementerian dalam usaha membasmi rasuah.

Baru-baru ini Idris turut dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah bermula 15 Julai sehingga 14 Julai 2024 selepas diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Dan hari ini beliau menerima Surat Cara Perlantikan AJK Khas Mengenai Rasuah daripada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Bilik Kunjung Hormat Aras 1 Blok Utama Parlimen Malaysia.

Menurutnya juga budaya rasuah sangat membahayakan, selain menyebabkan berlaku ketidakadilan kepada pihak yang tidak berdosa, ia menjadi punca utama salah guna kuasa.

Selain itu berlakunya kezaliman secara berleluasa, meruntuhkan sistem nilai akhlak dan ketelusan serta menghakis profesionalisme dalam gerak kerja.

Kata beliau dalam menjayakan agenda memerangi rasuah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu diberikan autoriti dan kuasa sepenuhnya tanpa campur tangan pihak lain.

“Selain itu, media juga perlu memainkan peranan penting dalam menyebarkan kesedaran dan pendidikan berkenaan perbuatan rasuah yang terkutuk itu.

“Sekali lagi saya menyeru semua pihak di pelbagai peringkat agar melaksanakan kaedah seperti OACP dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang bebas rasuah secara keseluruhannya,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 26/7/2021