Membalikkan tangan semasa berdoa

- Advertisement -

TENTUNYA kita pernah terpandang beberapa individu yang sedang berdoa dan membalikkan tangan ketika sedang berdoa. Lazimnya yang banyak melakukan seperti ini di kalangan orang-orang lama. Sewaktu saya kecil dahulu, banyak berjumpa dengan ‘orang-orang lama’ yang amalkan seperti ini. Kini, sepanjang pemerhatian sudah tidak ramai yang amalkan.

- Advertisement -

Ketika berdoa, sememangnya disyorkan agar mengangkat tangan. Ia termasuk di antara adab-adab dalam berdoa. Telapak tangan pula hendaklah diarahkan ke atas (bahagian langit).

Ada yang mengatakan kalau doa menolak bala atau musibah, disyorkan agar membalikkan tangan semasa berdoa sebagai tanda kita memohon kepada Allah S.W.T agar bala tersebut dihindarkan. Apakah ianya syar’ie?

Terdapat sebuah Hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A:

أن النبي صلى الله عليه وسلم استسقى فأشار بظهر كفَّيْه إلى السماء؛ أخرجه مسلم

“Sesungguhnya Nabi S.A.W memohon doa istisqa’ iaitu memohon agar diturunkan hujan, lalu Rasulullah S.A.W menunjukkan belakang kedua tangan Baginda (bahagian zahir atau atas tapak tangan) ke arah langit.”

(Riwayat Muslim)

Imam An-Nawawi memberikan penjelasan mengenai Hadis ini, antaranya kata beliau:

“Disunnahkan dalam setiap doa mengangkat bala seperti kemarau dan seumpamanya dengan cara mengangkat kedua tangan dan meletakkan belakang kedua telapak tangan ke arah langit. Apabila berdoa memohon dan mendapatkan sesuatu letakkan dua telapak tangan pula ke arah langit”.

Kesimpulan, ianya satu kaedah yang diperakukan oleh ulamak tanpa menafikan ada ulamak yang berbeza pandangan dalam hal ini. Apa yang penting, sebagai ummat Nabi Muhammad S.A.W, kita dapat mengambil maklumat dan mengetahui asas amalan yang dilaksanakan oleh sebahagian ummat Islam yang lain. Yang paling penting juga, jangan sesekali putus asa berdoa kepada Allah S.W.T!

WaAllahu aklam.

YB USTAZ HISHAMUDDIN ABDUL KARIM

Timbalan Pengerusi 
Jawatankuasa Pembangunan Belia Sukan & NGO 
Kerajaan Negeri Terengganu
ADUN Tepoh – HARAKAHDAILY 26/7/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/430148807009022/posts/4475127122511150/

- Advertisement -