Kerajaan seru semua pihak bersama atasi Covid-19

Foto Ihsan Bahagian Komunikasi Korporat, Parlimen Malaysia
- Advertisement -

Oleh SRIHAYANIS ABASRI

KUALA LUMPUR: Kerajaan hari ini tidak berpeluk tubuh membiarkan rakyat menderita, malah sentiasa bergerak dan bertindak untuk menyelamatkan nyawa dan kehidupan rakyat.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengerti bahawa rakyat berada dalam keadaan resah dan bimbang apabila angka kes harian Covid-19 menunjukkan peningkatan.

- Advertisement -

“Kerajaan sedang berusaha sedaya mungkin untuk mengatasi kemelut yang kita hadapi ini dengan mempercepatkan program vaksinasi.

“Yang penting kita mesti bersolidariti dalam menghadapi zaman yang sukar ini dan tidak usah kita berbalah dan menuding jari antara satu sama lain.

“Malaysia hari ini adalah antara negara yang terpantas memvaksinasi penduduknya,” kata beliau ketika menyampaikan penerangan mengenai Pelan Pemulihan Negara pada sidang khas Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau juga menyeru agar rakyat mendapatkan vaksin dengan segera untuk mencegah wabak yang berbahaya tidak kira apa jua jenama vaksin.

“Seganas mana pun wabak ini menakutkan manusia, insha-Allah vaksinasi adalah cara terbaik untuk melindungi nyawa.

“Saya berdoa ke hadrat Allah SWT agar mudah-mudahan kita semua terus dilindungi daripada wabak Covid-19 dan diberikan kesihatan yang sempurna,” katanya.

Sebelumnya, kerajaan mengumumkan darurat bagi membolehkan penumpuan diberikan untuk membendung penularan Covid-19 dalam negara.

“Usaha memerangi pandemik Covid-19 adalah tanggungjawab bersama individu dan semua pihak perlu berganding bahu dalam membanteras krisis ini,” ujarnya.

Justeru, kerajaan berpegang teguh pada prinsip kedaulatan undang-undang dan tidak akan melanggar hak asasi manusia, harta persendirian dan hak undang-undang lain, jelas beliau. – HARAKAHDAILY 26/7/2021

- Advertisement -