Jangan rosak sistem lawan Covid-19 dengan maklumat palsu

- Advertisement -

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH:
Ketua Penerangan PAS Melaka, Bakri Jamaludin menggesa agar orang ramai tidak merosakkan sistem melawan Covid-19 dengan menyebarkan maklumat palsu dan mengelirukan.

Menurut beliau maklumat palsu dan membuat fitnah di media sosial akan menyebabkan berlakunya salah maklumat dan kegagalan komunikasi yang akhirnya  menjadikan rakyat keliru serta tidak mendapat maklumat yang betul.

- Advertisement -

“Indonesia adalah contoh terbaik untuk kita melihat bagaimana ‘misinformation’ telah mengorbankan banyak nyawa. Terlalu banyak bahan sebaran di media sosial yang tidak memberikan maklumat tepat dan betul.

“Tidak kurang juga pihak-pihak yang mengambil kesempatan menyerang kerajaan sehingga menimbulkan sikap tidak percaya rakyat kepada setiap langkah yang dilakukan kerajaan dalam membendung penularan wabak Covid-19 ini.

“Ia sudah pasti rakyat bawahlah yang akan mengalami kesan paling buruk,” ujar Bakri dalam satu hantaran di laman Facebooknya, hari ini.

Tambahnya lagi, beliau pernah menonton satu laporan berita Al Jazeera yang mendedahkan bahawa sebenarnya kes Covid-19 di Indonesia adalah sangat parah.

Namun, katanya, apa yang dilaporkan adalah tidak tepat kerana masih ramai rakyat negara itu yang dijangkiti dan meninggal dunia tetapi tidak dilaporkan.

“Apabila moderator Al Jazeera bertanya kepada koresponden di Jakarta apakah gejala Covid-19 yang meningkat begitu mendadak juga disebabkan berlakunya ‘misinformation’? Koresponden di Jakarta menjawab, ya,” katanya.

Menurutnya, ‘lockdown’ bukanlah satu-satunya jalan keluar kepada permasalahan pandemik tetapi ia lebih bersifat mengawal dan memperlambatkan penularan virus supaya sistem kesihatan negara tidak lumpuh dan barisan hadapan tidak kelelahan.

Tambahnya, vaksinasi dan membina kekuatan sistem pertahanan tubuh melawan jangkitan merupakan pilihan terbaik yang ada masa kini.

“Kalau kita lihat pada statistik, negara- negara yang telah mencapai 40 peratus dan ke atas vaksinasi masih lagi merekodkan kes jangkitan yang tinggi seperti United Kingdom (UK), Amerika Syarikat (AS) dan beberapa negara besar Eropah,” ujarnya.

Tamahnay lagi, tetapi jika diteliti jumlah kematian sangat kecil jika dibandingkan sebelum vaksin diperkenalkan.

“Bagi rakyat Malaysia, contoh terbaik adalah negara jiran Singapura. Kadar vaksinasi mereka telah melebihi 50 peratus. Di mana 75 peratus daripada jangkitan baharu berlaku kepada mereka yang telah divaksin dan sedikit sahaja yang mengalami gejala. Itu pun gejala ringan dan tidak membawa kepada kematian,” ujar beliau

Menurutnya lagi, itulah kelebihan vaksin di mana ianya bukan ubat merawat Covid-19, tetapi lebih kepada sistem pencegahan dan penentangan terhadap virus yang datang dari tubuh kita sendiri.

“Walaupun berlaku jangkitan sesudah divaksin tetapi gejalanya adalah ringan atau tidak bergejala sama sekali. Ini sudah pasti tidak akan mengganggu aktiviti harian kita,” ujarnya lagi.

Bakri dalam hantarannya itu turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Malaysia kerana telah mengambil langkah proaktif dalam mempercepatkan proses vaksinasi rakyat Malaysia.

“Walaupun bermula perlahan tetapi data pada 25 Julai 21 menunjukkan 16.9 peŕatus rakyat Malaysia telah menerima dua dos vaksin. Ini merupakan suatu pencapaian baik berbanding dengan negara ASEAN lain.

“Saya menjangkakan ‘herd immunity’ akan dapat dicapai jauh lebih awal dari yang dijangkakan,” kata beliau.

Katanya lagi, sementara kerajaan, barisan hadapan dan sukarelawan bekerja keras untuk mempercepatkan proses vaksinasi, rakyat haruslah bersabar serta mengambil sikap menjaga keselamatan dan kesihatan diri sendiri dan keluarga dengan mematuhi SOP dan garis panduan yang telah dikeluarkan oleh pihak yang bertanggungjawab.

“Marilah kita bersama-sama mengambil sikap bertanggungjawab dan prihatin dalam memelihara keselamatan nyawa kita, tetangga kita, rakan taulan dan sesama warga Malaysia.

“Bantulah rakan taulan ini yang terkesan dengan PKP dan Covid-19,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 26/7/2021

- Advertisement -