Bangkit daripada runtuhan ekonomi natijah Covid-19

- Advertisement -

Oleh IBNU JANIE

SEKIRANYA
perkiraan kerajaan tepat, menjelang September ini mungkin kegiatan ekonomi boleh dibuka sepenuhnya jika kita berjaya mencapai imuniti kelompok iaitu 80 peratus golongan dewasa telah lengkap divaksin. Beberapa negara yang telah mencapai imuniti kelompok sudah mula membuka aktiviti ekonomi mereka yang dahulunya ditutup.

Apabila ekonomi dibuka sepenuhnya kerajaan akan memulakan semula hari baharu dan mengharapkan agar aktiviti ekonomi dapat dirancakkan semula. Dengan itu kerajaan dapat menampung semula semua belanja besar yang dibuat semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Secara analoginya, biasanya apabila kita mempunyai pendapatan yang kecil kita akan berbelanja kecil. Apabila kita mempunyai pendapatan besar kita berbelanja besar. Ini biasa.

- Advertisement -

Yang sebaiknya apabila kita mempunyai pendapatan besar kita tidak berbelanja besar, tetapi kita menyimpan sedikit untuk masa susah. Ini juga biasa.

Tetapi apabila tiba-tiba kita berhadapan dengan pengurangan atau kehilangan pendapatan dan pada masa itu kita terpaksa berbelanja lebih besar kerana ada sesuatu yang berlaku, orang Indonesia kata ‘ini fatal’. Maksudnya ia satu kesusahan yang sangat dahsyat!

Umpama seorang ayah yang tiba-tiba hilang pekerjaan dan tanpa diduga anaknya pula jatuh sakit. Sudahlah hilang pendapatan, terpaksa pula berbelanja lebih untuk mengubati anak yang sakit. Pada masa ini ayah itu terpaksa menggunakan wang simpanan yang ada. Sekiranya tiada simpanan terpaksa pula berhutang.

Inilah gambaran apa yang dihadapi kerajaan yang berdepan dengan bencana Covid-19 ini. Bukan Malaysia sahaja, tetapi semua kerajaan yang berdepan dengan bencana Covid-19 menghadapi situasi yang sama.

Bayangkan, dalam tempoh dua tahun bencana ini kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah menyalurkan bantuan tunai kepada rakyat lebih daripada RM65 bilion. Ini dalam keadaan tidak banyak cukai dapat dikutip kerana kebanyakan perniagaan berada dalam situasi rugi dan golongan pekerja yang ramai hilang pekerjaan.

Untuk perbandingan, kerajaan BN dahulu menyalurkan BR1M selama enam tahun dan BSH yang diberi oleh kerajaan PH selama dua tahun, jumlahnya baru berjumlah RM36.2 bilion. Itu untuk lapan tahun, berbanding RM65 bilion yang disalurkan kerajaan PN hanya dalam dua tahun.

Pada masa ekonomi mula dibuka sepenuhnya juga nanti, kita akan bermula semula dengan rakyat yang hilang pekerjaan yang akan mula mencari kerja.

Perniagaan-perniagaan yang selama ini terpaksa ‘berhibernasi’ kerana tidak boleh beroperasi akan mula dibuka semula. Sesetengah peniaga yang ada juga bakal menghadapi masalah kekurangan modal untuk mula berniaga kerana duit banyak dihabiskan untuk menampung hidup semasa PKP.

Kita juga akan berhadapan dengan bank-bank yang akan memulakan hidup baharu dengan dana untuk diberi sebagai pinjaman yang sangat berkurangan kerana moratorium. Sekiranya bank-bank ini tidak dapat meningkatkan dana mereka maka rakyat akan berdepan kesukaran untuk meminjam pada masa akan datang.

Banyak perniagaan yang mengalami kerugian. Tapi bencana ini bukan kita pinta. Ia berlaku di seluruh dunia. Kadang kala kita terfikir kalaulah bencana ini tidak berlaku sudah pasti perniagaan kita sedang berkembang maju sekarang dan pasti kita sedang menikmati kekayaan.

Namun yang terjadi telah terjadi. Yang kita perlu fikirkan ialah bagaimana untuk bangkit dan membina semula segala yang telah musnah. Bagaimana untuk bangkit semula daripada runtuhan-runtuhan ekonomi akibat Covid-19 ini.

Kerana itu penulis selalu katakan bahawa apa yang sedang kita hadapi ini tidak ubah seperti sedang mengharungi suasana perang. Dengan kemusnahan ketara dari sudut ekonomi dan nyawa. Bezanya cuma tiada kemusnahan harta benda sahaja.

Untuk bangkit semula daripada keruntuhan ekonomi ini kita boleh mengambil pengajaran dan semangat daripada sejarah yang pernah berlaku sementelah sejarah memang sentiasa menjadi guru yang sentiasa mengajar kita.

Bagaimana Jepun bangkit daripada kemusnahan akibat perang

Kita boleh mengambil pengajaran bagaimana negara yang mengalami kemusnahan yang dahsyat akibat perang sebenar bangkit dari segi ekonominya. Antaranya ialah negara Jepun yang pernah menjadi kiblat ekonomi Malaysia semasa era Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri kali pertama dahulu.

Sebaik Perang Dunia Kedua tamat pada tahun 1945, dianggarkan 25 peratus kekayaan Jepun lenyap. 40 peratus kilang dan loji perniagaannya musnah dalam peperangan. Akibat bom atom di Hiroshima dan Nagasaki sahaja 300,000 orang rakyat Jepun mati. Itu belum lagi kematian total akibat peperangan itu.

Perlembagaan Negara Jepun yang ketika itu ditadbir Tentera Bersekutu dipinda dengan negara itu tidak lagi dibenarkan memiliki pasukan ketenteraan. Akibatnya seramai 7.6 juta tentera hilang pekerjaan.

Industri-industri berasaskan persenjataan turut sekali lumpuh dan tidak dibenarkan lagi beroperasi. Tentera dan pekerja industri persenjataan yang hilang pekerjaan ini sudah tentu terpaksa mencari peluang pekerjaan baharu.

Namun dengan kerja keras kerajaan dan rakyat Jepun, pada tahun 1947 dua bandar yang musnah akibat bom atom, Nagasaki dan Hiroshima, berjaya dibangunkan semula. Pembangunan Nagasaki pula dilaporkan hanya bermula pada tahun 1946 kerana masalah kewangan.

Dan pada pertengahan 1950an kedua-dua bandar ini berjaya kembali seperti asal sebelum ia dibom. Pada tahun 1952 sektor industri Jepun berjaya dipulihkan seperti keadaan sebelum perang.

Kemusnahan yang berlaku akibat perang adalah maha dahsyat. Namun Jepun berjaya melaluinya sehinggakan kejayaan ini mendapat jolokan sebagai ‘keajaiban ekonomi Jepun’. Hakikatnya bukanlah kerana keajaiban atau nasib tetapi kerana kerja keras dan tidak hanya meratapi apa yang telah berlaku.

Kemusnahan ekonomi yang kita alami akibat Covid-19 memang sangat teruk. Umpama berada di zaman perang. Namun ia sudah pastilah tidak lebih teruk daripada perang yang sebenar-benarnya.

Namun kita dapat melihat bagaimana negara yang musnah akibat peperangan sebenar ini akhirnya bangkit semula. Malah lebih baik daripada zaman sebelum perang walaupun pernah berdepan kemusnahan teruk. Ia sepatutnya menjadi motivasi kepada kita untuk membina semula ekonomi kita selepas berakhirnya bencana Covid-19 ini.

Kita juga jangan terlalu memikirkan apa yang telah musnah. Ia tidak akan dapat dikembalikan semula. Iya, cakap memang mudah, namun berterus-terusan mengira-mengira dan menghitung-hitung segala kerugian pun tidak akan dapat mengembalikan semula segala yang telah musnah.

Penulis pernah menonton filem berjudul ‘2012’ yang diterbitkan pada tahun 2009 diinspirasikan daripada peristiwa bah besar dan bahtera Nabi Nuh A.S. Dalam filem itu kita akan lihat satu adegan di akhir filem ini apabila keadaan bah besar itu menjadi tenang selepas keadaan menjadi reda lalu dipaparkan di skrin tarikh pada hari itu sebagai 27 haribulan, bulan pertama tahun 0001. Ia menggambarkan seolah-olah dunia bermula semula dari tarikh baharu selepas berlaku bah besar yang memusnahkan dunia yang asal.

Barangkali itu situasi yang kita akan hadapi nanti apabila ekonomi dibuka semula selepas kita berjaya mencapai imuniti kelompok nanti. Umpama bermulanya satu hari baharu.

Semoga kita akan terus bekerja keras untuk masa depan tanpa meratapi apa yang kita telah hilang dalam ‘peperangan Covid-19’ ini. Jalan mesti ke depan, bukan mengundur ke belakang. – HARAKAHDAILY 26/7/2021

- Advertisement -