Ahli Parlimen perlu berbahas secara matang

- Advertisement -

Oleh ZULFAHMI RAMLI

IPOH:
Ahli Parlimen seharusnya memanfaatkan peluang untuk memberi cadangan penambahbaikan dan berbahas dengan matang dan tidak menimbulkan suasana huru hara di Dewan Rakyat.

Pengerusi Pertubuhan Ilmuan dan Profesional Intelek Malaysia (PROTEAM), Mohd Rizan Abdul berkata, mesyuarat khas Penggal Ketiga Parlimen hari ini berbeza dengan mesyuarat penggal biasa.

Katanya, Ahli Parlimen seharusnya memberi fokus kepada Proklamasi Darurat dan langkah kerajaan dalam menangani pandemik Covid-19 ketika ini.

- Advertisement -

“Adalah menjadi harapan semua pihak agar persidangan Parlimen akan berjalan lancar demi kepentingan rakyat keseluruhannya,” katanya di sini.

Hari ini berlangsung persidangan khas parlimen Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 bermula hari ini hingga 2 Ogos ini. Manakala sidang Dewan Negara pula 3 hingga 5 Ogos.

Persidangan parlimen diadakan bermula hari ini selaras dengan nasihat Yang di-Pertuan Agong. Mesyuarat itu termasuk memberi penerangan kepada Ahli-Ahli Parlimen mengenai Pelan Pemulihan Negara.

Berdasar Fasal (3) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, semua proklamasi darurat dan ordinan yang dibuat Yang di-Pertuan Agong akan dibentangkan di hadapan kedua-dua Majlis Parlimen.

Speaker Dewan Rakyat, Dato’ Azhar Azizan Harun pula mengesahkan dua ahli Parlimen didapati positif Covid-19, sekali gus tidak dapat menyertai persidangan.

Manakala enam lagi ahli Parlimen terpaksa menjalani kuarantin kendiri kerana menjadi kontak rapat kepada dua ahli Parlimen berkenaan.

Hasil ujian saringan Covid-19 diadakan Jumaat lalu mendapati seramai 13 kakitangan Parlimen yang didapati positif.

Selain itu seramai 58 kakitangan Parlimen turut menjalani kuarantin kendiri kerana menjadi kontak rapat kepada mereka yang positif.

Oleh itu Mohd Rizan berharap semua Ahli Parlimen memanfaatkan peluang terbaik dengan persidangan parlimen sekarang. – HARAKAHDAILY 26/7/2021

- Advertisement -