Olimpik: Permulaan positif Nur Shazrin

- Advertisement -

TOKYO: Atlet pelayaran negara Nur Shazrin Mohamad Latif, meraih keputusan memuaskan dalam dua perlumbaan pertama acara Laser Radial Wanita di temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020, yang berlangsung di Enoshima Yacht Harbour di Bandar Fujisawa, hari ini.

Pemenang pingat gangsa Sukan Asia 2018 di Indonesia itu, mempamerkan aksi cemerlang pada perlumbaan pertama apabila menduduki tempat ketiga di belakang pelayar Sepanyol Cristina Pujol Bajo dan Vasileia Karachaliou dari Greece.

- Advertisement -

Namun pelayar berusia 23 tahun itu gagal mengulangi aksi bertenaganya pada perlumbaan kedua, yang terpaksa ditangguh seketika akibat cuaca buruk apabila menamatkan saingan di kedudukan ke-25, daripada keseluruhan 44 peserta yang mengambil bahagian dalam acara itu.

Pelayar Jerman Svenja Weger mengungguli saingan perlumbaan kedua sementara tempat kedua dan ketiga masing-masing menjadi milik Elena Vorobeva dari Crotia dan Line Flem Hoest (Norway).

Selepas dua perlumbaan, Nur Shazrin kini menduduki tempat ke-11 secara keseluruhan, dengan baki lapan lagi perlumbaan perlu ditempuh.

Ia sekali gus menyaksikan, beliau masih berada di landasan tepat untuk menempatkan diri dalam kalangan 10 pelayar terbaik selepas 10 perlumbaan, untuk melayakkan diri beraksi dalam pusingan penentuan pingat.

Nur Shazrin yang membuat penampilan keduanya di Sukan Olimpik selepas edisi 2016 di Rio de Janeiro lima tahun lalu, dijadual kembali beraksi dalam perlumbaan ketiga dan kelima acara itu, petang esok.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menerusi ciapan di Twitter rasminya, mengucapkan tahniah kepada Nur Shazrin dan mengakui berbangga dengan pencapaian atlet kelahiran Pasir Gudang, Johor itu. – BERNAMA

- Advertisement -