Olimpik: Azizulhasni galas cabaran demi rakyat Malaysia

Datuk Mohd Azizulhasni Awang
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Alhamdulillah. Selepas tujuh minggu berada di tanah air tercinta, dua minggu kuarantin dan lima minggu kem latihan di Nilai, kini sudah tiba masanya untuk saya dan pasukan berangkat ke Tokyo,” kata jaguh berbasikal trek negara, Dato’ Mohd Azizulhasni Awang.

Sehubungan itu, beliau ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung di dalam membantu persiapan beliau kali ini.

“Perginya saya ke sana bukan hanya membawa misi peribadi tetapi juga misi penting negara,” ujarnya dalam satu hantaran di laman Facebook beliau pagi ini.

- Advertisement -

Tegasnya, beliau menyahut dan menggalas cabaran tersebut demi 32 juta rakyat Malaysia yang berada di belakangnya.

Pada kesempatan ini juga, katanya beliau ingin memohon kemaafan kepada semua pihak jika ada tersilap mahupun terkasar bahasa secara sengaja ataupun tidak sengaja.

“Sesungguhnya saya hanyalah manusia biasa yang tidak lekang dari kesilapan dan saya ingin pergi berjuang dengan jiwa yang aman,” ujarnya lagi.

Pagi ini, beliau mengetuai kumpulan terakhir kontinjen Malaysia yang terdiri daripada atlet sukan berbasikal trek, terjun dan olahraga yang berlepas ke temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Seramai 10 individu, termasuk lima atlet menaiki pesawat Malaysia Airlines MH070 pada jam 9.50 pagi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita pada 6.05 petang (waktu Malaysia 5.05 petang). – HARAKAHDAILY 25/7/2021

.

- Advertisement -