MPM sokong gerakan menentang rasuah

Prof Datuk Seri Dr Awang Sariyan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Melayu (MPM) menyokong penuh gerakan menentang dan memerangi rasuah di negara ini yang dipelopori oleh Dato’ Hussamudin Yaacub dengan dukungan 200 badan di seluruh negara yang mewakili pelbagai kelompok dan lapisan rakyat.

Pengerusi Gerakan Jihad Rakyat MPM, Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan berkata, rasuah menjadi ibu segala masalah manusia dalam segala peringkat sosial, dari institusi keluarga hingga institusi negara.

- Advertisement -

Katanya, rasuah punca salah guna kuasa, ketirisan, nepotisme, favoratisme, penzaliman, ketidakadilan dan pelbagai fenomena lain yang kesemuanya meruntuhkan sistem nilai positif, akhlak, keadilan masyarakat, ketelusan, kejujuran, keikhlasan dan professionalisme.

Menurut beliau, ekonomi negara terjejas teruk dengan leluasanya rasuah kerana bahagian yang besar daripada peruntukan projek dan modal perniagaan dirampok oleh perasuah di pelbagai peringkat dan menyebabkan manfaat kepada masyarakat dan rakyat tidak terpenuhi dengan sewajarnya.

Katanya, jihad memerangi rasuah mesti dijadikan agenda di semua peringkat institusi, daripada keluarga, jabatan, agensi, persatuan, koperasi, yayasan, korporat dan kemuncaknya dalam kepemimpinan negara.

Beliau berkata agenda memerangi rasuah dengan pelan tindakan yang praktis dan disegerakan pelaksanaannya wajib menjadi gerakan menyeluruh secara serentak dan bersepadu.

“Apa-apa ruang rasuah, sekecil manapun mesti ditutup dan dihapuskan,” katanya.

Tambah beliau, SPRM mesti diberi wibawa sepenuhnya dalam melaksanakan amanahnya membanteras rasuah, tanpa gangguan dan campur tangan politik.

Pada waktu yang sama, katanya warga kerja SPRM di semua peringkat mestilah membuktikan integriti yang tinggi dalam pelaksanaan amanahnya tanpa tunduk atau berkompromi kepada mana-mana pihak.

Beliau berkata pihak berkuasa agama dan pertubuhan agama bukan kerajaan wajib menjadikan jihad memerangi rasuah sebagai antara jihad utama untuk menyelamatkan negara daripada kemusnahan ekonomi, politik dan tamadun.

Selain itu, katanya media sebagai pembentuk pendapat umum masyarakat mesti menjadikan jihad memerangi rasuah sebagai salah satu keutamaan untuk bukan sahaja menyedarkan masyarakat bahkan mengajak masyarakat memerangi rasuah kerana akhirnya kuasa rakyatlah kuasa yang sebenarnya. – HARAKAHDAILY 25/7/2021

- Advertisement -