Malaysia sangat dihormati rakyat Timur Tengah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Malaysia sangat dihormati oleh rakyat negara-negara Timur Tengah kerana mempunyai hubungan diplomatik yang begitu baik.

Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, pagi tadi beliau mengadakan perbincangan melalui sidang video bersama Duta Besar Malaysia ke Mesir, Oman dan Lubnan yang baharu.

Katanya, apa yang penting disampaikan kepada mereka agar dipertingkatkan kerjasama dalam kepentingan bersama dari sudut agama, pendidikan dan ekonomi.

- Advertisement -

“Saya ucapkan tahniah kepada TYT Duta Besar Malaysia ke Mesir Zamani Ismail, TYT Shaiful Anuar Mohammad (Duta Besar Malaysia ke Oman) dan TYT Azri Mat Yacob (Duta Besar Malaysia ke Lubnan),” katanya pada kenyataan hari ini.

Kata beliau rakaman tahniah itu di atas pelantikan mereka yang dianggap sangat penting kepada Malaysia daripada sudut hubungan antarabangsa.

Menurutnya tanggungjawab dan amanah yang dipikul mereka amat mencabar kerana bertugas di negara Timur Tengah yang menjadi sasaran pertembungan kuasa besar dunia kerana kedudukannya yang strategik dalam hubungan antarabangsa.

Malah rantau itu menjadi titik pertemuan tiga benua besar dunia dan mempunyai sumber tenaga yang menjadi rebutan pada masa kini.

“Apa yang penting saya sampaikan kepada mereka agar dipertingkatkan kerajasama dalam kepentingan bersama dari sudut agama, pendidikan dan ekonomi, ke arah mencapai kedudukan negara umat Islam yang maju dan kuat dalam segala lapangan.

“Saya berdoa dengan pertolongan Allah, mudah-mudahan Duta-Duta Besar Malaysia ke Timur Tengah yang baharu ini dapat menjalankan tugas dengan baik. Saya percaya pengalaman mereka yang banyak dalam lapangan diplomatik akan membantu dalam mencapai kejayaan yang cemerlang untuk Malaysia. Insya-Allah,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 25/7/2021

- Advertisement -