Kukuhkan amalan kerohanian depani Covid – PUM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) mengajak masyarakat untuk mengukuhkan amalan kerohanian bagi mendepani wabak dan musibah Covid-19 yang melanda negara dan umat ketika ini dengan kes harian melebihi lima angka.

Yang Dipertuanya, Dato’ al-Syeikh Abdul Halim Abdul Kadir berkata, ini kerana sudah terbukti wabak itu bukan sahaja meragut ramai nyawa manusia malah mengancam kehidupan generasi akan datang.

Sehubungan itu, ujarnya sudah sampai masanya semua pihak untuk merasai betapa pentingnya amalan kerohanian diperkukuhkan dalam usaha menangani wabak itu dengan berkesan.

- Advertisement -

Tambahnya, PUM meminta setiap individu Muslim agar sentiasa mematuhi perintah dan suruhan Allah SWT seperti amalan solat lima waktu, berzikir dan berdoa kepada-Nya.

Di samping itu, kata beliau ibu bapa perlu memastikan anak-anak di bawah tanggungan mereka melaksanakan kewajipan tersebut dengan bersungguh-sungguh dan berkesan.

“Bagi ahli masyarakat, penganjuran amalan kerohanian seperti bermunajat, berzikir dan bersolawat amatlah digalakkan,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Justeru, tambahnya bagi memantapkan amalan itu, sekolah-sekolah, masjid-masjid, agensi-agensi awam, pejabat-pejabat kerajaan dan swasta dan pelbagai pihak wajar menganjurkan program-program kerohanian dan menggalakkan semua ahli masyarakat bermunajat, berzikir dan berdoa kepada Allah di atas bala dan musibah yang melanda itu.

Katanya lagi, syarikat-syarikat penyiaran, TV, Radio dan seumpamanya juga digalakkan untuk terus mempertingkatkan aktiviti bersifat kerohanian untuk disalurkan kepada masyarakat.

“Secara tidak langsung, ini juga akan membantu memulihkan jiwa mereka yang terkesan dengan pandemik Covid-19 seperti kemurungan, kegelisahan dan seumpamanya,” katanya. 

Beliau berkata, sudah tiba masanya untuk semua pihak untuk sentiasa bermuhasabah di samping melaksanakan usaha-usaha untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT berusaha mengelak perlakuan yang mengundang kemurkaan Allah SWT.

Beliau turut memetik kata-kata Saidina Ali r.a. yang wajar dijadikan panduan yang bermaksud: Tidak diturunkan bala melainkan kerana dosa, dan tidak diangkat (bala tersebut) melainkan dengan taubat.

“PUM bersedia memberi kerjasama dengan mana-mana pihak bagi penganjuran tersebut dan turut menyeru agar semua siaran media massa untuk berusaha mengajak masyarakat dengan amalan-amalan kerohanian, amalan taubat dan kembali mendekatkan diri kepada Allah SWT,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 25/7/2021

- Advertisement -