PUTRAJAYA: Kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah sedia maklum dan mengambil kira segala pengorbanan doktor terutama ketika pandemik sekarang.
Pengerusi Ahli Lembaga Pelawat Hospital Putrajaya Dato’ Sri Dr Junaidy Abu Bakar berkata, kerajaan berjanji menyelesaikan isu doktor kontrak dengan segera.
Katanya semoga satu penyelesaian yang mutlak dan titik persefahaman akan dicapai demi untuk kelangsungan dan kepentingan negara yang tercinta.
“Para doktor yang terlibat diminta bersabar kerana langkah-langkah perlu sedang diambil untuk mengkaji dengan teliti dan memperbaiki dasar-dasar sebelum ini demi untuk kebaikan bersama.
“Tetapi apabila ada segelintir doktor yang hendak menunjuk perasaan untuk membantah sesuatu dasar, ia satu langkah yang tidak beretika pada hemat saya kerana ini akan menjejaskan perkhidmatan kesihatan terutama perkhidmatan yang kritikal yang boleh menyebabkan kemudaratan kepada pesakit dan menyebabkan beban kerja rakan lain,” katanya pada satu kenyataan.
Sebuah laman berita melaporkan mogok doktor kontrak akan diteruskan esok di hospital dan klinik kesihatan di seluruh negara kerana mendakwa kerajaan gagal memenuhi beberapa tuntutan kumpulan doktor kontrak dalam perkhidmatan awam.
Wakil gerakan Hartal Doktor Kontrak, Dr Umar Barakah dilapor berkata, dianggar seramai 4,000 doktor akan menyertai mogok tersebut.
Mereka akan masuk kerja pada pagi sebelum melaksanakan walk-out pada jam 11 pagi.
Sedangkan baru-baru ini Perdana Menteri mengumumkan kerajaan bersetuju melanjutkan tempoh kontrak pegawai perubatan dengan menawarkan pelantikan kontrak dua tahun selepas tempoh khidmat wajib.
Dr Junaidy juga berkata, doktor terbabit sepatutnya membuat keputusan untuk diri mereka sendiri bagi menentukan halatuju karier masing-masing secara lebih rasional dan profesional tanpa meletakkan pesakit dan perkhidmatan kesihatan dalam kemudaratan.
Katanya mereka boleh mempertimbangkan untuk meletak jawatan daripada perkhidmatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan meneruskan profesion sebagai doktor dengan menyertai hospital-hospital universiti, hospital swasta, klinik perubatan persendirian, agensi kerajaan berkaitan, NGO-NGO perubatan dan syarikat farmasi multinasional.
“Apa pun tindakan yang akan diambil para doktor harus memikirkan kepentingan dan keselamatan pesakit yang akan terlibat secara langsung nanti.
“Ia bukan hanya untuk menjaga imej hospital dan perkhidmatan kesihatan negara tetapi juga demi menjaga imej profesion doktor itu sendiri. Ingat kembali dengan Sumpah Doktor yang telah diikrarkan sebelum ini iaitu ‘First Do No Harm’,” ujarnya.
Beliau juga berkata, sebagai seorang doktor yang tertakluk kepada etika perubatan, amat disayangkan apabila etika dan tanggungjawab itu diabaikan demi untuk memenuhi tuntutan tertentu di saat saat genting melawan pandemik sekarang.
“Pihak ALP amat hormat kepada para doktor kerana profesion mereka adalah sangat mulia dan penuh dengan pengorbanan terutama di masa pandemik,” tambahnya.
Menurutnya juga Pengerusi dan ALP hospital selaku wakil komuniti membantu pihak hospital dari segi hubungan dua hala antara hospital dan masyarakat untuk membentuk persefahaman demi memberikan perkhidmatan terbaik.
Kata beliau ALP juga bertindak secara aktif di waktu bencana dan pandemik dari aspek bantuan fizikal dan moral kepada pihak hospital.
“ALP juga bertindak sebagai pengelola untuk kutipan derma dari sumber yang sah bagi pihak hospital untuk digunakan bagi rawatan pesakit yang tidak berkemampuan, kebajikan pesakit dan kakitangan, pembangunan infra di hospital.
“Pihak ALP juga berfungsi sebagai orang tengah di antara pesakit dan pihak hospital dalam menjaga kepentingan pesakit,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 25/7/2021