Fokus agenda kebajikan rakyat – Pemuda PN

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

SERDANG: Pemuda Perikatan Nasional (PN) meneruskan agenda mengutamakan kebajikan rakyat termasuk melalui agihan sumbangan bakul makanan kepada mahasiswa Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Menurut Ketuanya, Senator Ir Khairil Nizam Khirudin, inisiatif itu diusahakan melalui salah satu produk Pemuda PN, iaitu Akar Umbi Pemacu Negara (AkuPN) yang ditubuhkan bagi mencari solusi kepada beberapa situasi yang dihadapi anak muda hari ini.

- Advertisement -

“Hari ini, kita bagi pihak Pemuda PN, kita meneruskan lagi agenda kebajikan Pemuda PN dengan membantu rakyat terkesan dengan Covid-19.

“Beberapa minggu lepas, kita turun membantu adik-adik mahasiswa di UKM (Universiti Kebangsaan Malaysia), dan hari ini kita bantu adik-adik mahasiswa UPM (Universiti Putra Malaysia).

“Seperti mana dimaklumkan, ada 4,000 student yang masih lagi berada di sini (UPM) untuk belajar dan mengambil peperiksaan sebelum mereka pulang ke kampung halaman dalam masa seminggu atau dua minggu lagi lah,” ujarnya.

Katanya, setakat ini hanya dua IPTA terlibat memandangkan kebanyakan mahasiswa kini sedang membuat persediaan dan persiapan untuk peperiksaan masing-masing.

Justeru itu, pihaknya hanya giat mengagihkan sumbangan bakul makanan mengikut kemahuan dan fleksibiliti pihak pentadbiran IPTA setakat ini.

“Sebab mereka pun dalam proses ambil exam dan sebagainya, kita tak nak ganggu sangat. Kita tanya dulu pihak pentadbiran universiti. Kalau mereka boleh menerima kita, kemudian kita akan datang membawa bakul makanan,” ujarnya kepada Harakah ketika ditemui di Kompleks Akademi A (KAA), UPM, di sini, semalam.

Sementara itu, Naib Canselor UPM, Prof Dr Arifin Abu berkata, pihaknya sangat berterima kasih di atas sumbangan dan bantuan yang disalurkan melalui AkuPN itu.

Jelasnya, sumbangan bakul makan itu adalah satu usaha yang baik dari Khairil untuk datang mengagihkan bantuan kepada pelajar-pelajar UPM.

“Ini adalah sumbangan yang besar bagi kami warga UPM dalam keadaan pandemik Covid-19 ini, sangat-sangat dialukan dan kita berharap pandemik Covid-19 ini akan hilang daripada bumi Malaysia tercinta.

“Bantuan ini sangat-sangat membantu, bukan sahaja untuk pelajar yang berada di dalam kampus, kerana kita berada lebih kurang 4,000 sebenarnya pelajar di UPM.

“Bantuan ini juga akan diagihkan kepada pelajar-pelajar yang berada di luar kampus ini bukan sahaja untuk pelajar tempatan, malahan juga kita akan beri kepada pelajar antarabangsa yang belajar di UPM,” katanya.

Dari kiri, Naib Yang Dipertua UPM, Muhammad Farhan Roslan, Naib Canselor UPM, Prof Dr Arifin Abu, Ketua Pemuda PN, Senator Ir Khairil Nizam Khirudin, Timbalan Ketua Pemuda PN, Datin Ema Syuhaili, dan Exco Srikandi Malaysia, Datin Neng Hayati Hayatullah Md Ali.

Tambah beliau bakul makanan agihan AkuPN akan diedarkan kepada pelajar berdasarkan keperluan mereka dengan mengutamakan pelajar luar kampus.

Bagaimana katanya, ia tidak bererti pihak UPM mengabaikan pelajar yang menginap di kolej kediaman memandangkan sumbangan yang diberi adalah barangan berbentuk makanan kering.

“Bakul ini kita akan identity berdasarkan kepada keperluan itu, kita akan bagi keutamaan ini disebabkan dia ada beras, ada tepung dan sebagainya.

“Keutamaan dia adalah pelajar-pelajar di luar kampus, tetapi dari segi bantuan-bantuan yang lain itu kita akan beri juga kepada pelajar yang menginap di asrama ataupun kolej kediaman,” ujarnya.

Selain itu, Naib Yang Dipertua UPM, Muhammad Farhan Roslan, turut mengucapkan penghargaan di atas sumbangan tersebut yang menurutnya amat membantu pelajar yang kurang berkemampuan.

Jelasnya, penghujung semester adalah waktu yang sukar bagi segelintir pelajar yang terpaksa berdepan dengan pelbagai kekangan.

“Sumbangan makanan kering yang diserahkan oleh YB Ir Khairil, saya amat hargai. Di hujung semester ini memang pelajar ada pelbagai permasalahan lah, termasuk kekurangan makanan dan sebagainya.

“Saya rasa bekalan makanan ini boleh membantu untuk agihan di sekitar kolej kediaman, untuk mini food bank, gerobok rezeki dan juga pelajar luar kampus,” ujarnya.

Sementara itu, mengulas mengenai AkuPN, kata Khairil, AkuPN digerakkan bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi belia termasuk masalah pengangguran.

Jelasnya, AkuPN memfokus tiga perkara bagi menangani masalah pengangguran, iaitu melalui upskilling dan reskilling, penyediaan peluang peekrjaan serta sokongan dan bantuan kepada usahawan-usahawan tempatan.

“Jadi tiga perkara ini, strategi yang kita buat untuk pastikan kita boleh menjadi mediator (orang tengah) anak-anak muda kepada kerajaan.

“Contohnya upskilling dan reskilling, kita ada kerjasama dengan kementerian sumber manusia untuk menghantar serta memudahkan anak-anak muda kita untuk mengambil kursus kursus anjuran TVET sebagai satu contoh.

“Untuk pekerjaan pula, kita bersama dengan KBS (Kementerian Belia dan Sukan) di bawah program perintis muda dan PERKESO di bawah MYFutureJob,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 25/7/2021

- Advertisement -