Covid-19: Di negara lain pembangkang bantu kerajaan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Sidang Khas Parlimen yang akan diadakan bermula esok 26 Julai diharap dapat digunakan sebaiknya oleh semua ahli Parlimen untuk kepentingan rakyat dan negara.

Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, semoga ia tidak dijadikan medan politik oleh pihak tertentu, sebaliknya memberi cadangan terbaik untuk kebaikan negara dan rakyat.

Katanya, agenda urusan Parlimen begitu banyak khususnya yang berkaitan penjelasan daripada kerajaan.

- Advertisement -

“Ianya sangat penting khususnya dalam keadaan sekarang yang perlu diketahui rakyat.

“Banyak perkara yang dibuat, dirancang dan dilaksanakan kerajaan, tetapi tidak sampai maklumatnya kepada rakyat,” ujarnya ketika ditemui selepas majlis penyampaian sumbangan kepada golongan armalah di Pusat Khidmat Dun Panchor Pengkalan Chepa dekat sini hari ini.

Oleh itu beliau berharap, sidang Parlimen khas itu banyak perkara boleh dijelaskan oleh kerajaan kepada rakyat.

Tambahnya, menurut maklumat yang diperolehi sidang Parlimen kali ini boleh dibahas dan kemuka pertanyaan oleh ahli-ahli parlimen.

“Ini adalah peluang terbaik untuk ahli Parlimen memberi cadangan bagi mempertingkatkan dan menambah baik usaha kerajaan menangani Covid-19,” ujarnya.

Kerana itu tambahnya, PAS mengingatkan semua pihak jangan menggunakan Parlimen untuk kepentingan politik.

Beliau juga berkata, ia merupakan antara masalah di Malaysia iaitu bermain politik setiap masa dan tidak kena pada tempatnya.

Sedangkan di negara luar antara katanya, antara sebab mereka boleh berhadapan dengan masalah Covid-19 dengan baik serta kemas gerak kerja kerana tidak ada gangguan daripada pembangkang.

“Malah mereka (pembangkang) duduk bersama kerajaan untuk membantu mengurangkan penurunan jangkitan Covid-19.

“Kita di Malaysia pembangkang hanya dok sebut fasal angka tiap-tiap minggu ada angka itu dan ini. Sepatutnya tolong kerajaan bagi mengurangkan masaalah Covid-19,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 25/7/2021

- Advertisement -