Agensi agama di Perlis bantu kekang penularan wabak

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

ARAU:
Agensi-agensi agama Islam di Perlis disaran terus komited dengan melipatgandakan usaha bagi membantu mengekang serta menangani penularan wabak Covid-19 di negeri ini melalui kapasiti dan bidang kuasa masing-masing.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyantuni dan menyampaikan sumbangan agihan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada seorang penduduk Norbayah Mohd Saleh, 50 di Kampung Behor Mempelam, Tambun Tulang di sini hari ini.

- Advertisement -

Norbayah menghidap penyakit asma dan tidak bekerja tinggal bersama enam anak, yang mana salah seorang daripada mereka memerlukan rawatan perubatan lanjutan di Hospital Besar Pulau Pinang dalam masa terdekat.

Seorang lagi anak beliau terpaksa menangguhkan pengajian di salah sebuah Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Hadir sama mengiringi baginda Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Negeri Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Mohd Noor.

Titah baginda yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs, agensi-agensi agama Islam di negeri Perlis terdiri daripada MAIPs, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), Jabatan Mufti dan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri akan berusaha lebih keras lagi bagi menghulurkan bantuan kepada rakyat selain membantu menghentikan penularan wabak Covid-19.

“Alhamdulillah, antara inisiatif yang dilaksanakan, Perlis menjadi negeri pertama di Malaysia malah antara yang terawal di dunia mengambil langkah menangguhkan pelaksanaan aktiviti pengimarahan di masjid pada 13 Mac 2020 dan menjadi yang pertama kembali membuka semula pengimarahan masjid,” titah baginda.

Tambah Raja Muda lagi, selain itu, agensi-agensi agama Islam di negeri itu terus berikhtiar dengan berhati-hati dan cermat dalam menyusun atur segala ketetapan prosedur operasi standard (SOP) di bawah pengurusan mereka berusaha menawarkan alternatif kepada masyarakat dalam melaksanakan ibadah yang difardukan. – HARAKAHDAILY 23/7/2021

- Advertisement -