Tangisan pendakwah

- Advertisement -

MENJADI seorang pendakwah, bukanlah semudah yang disangka. Sebagaimana kita membaca kisah-kisah para Anbiya, maka begitulah hal keadaan ujian yang datang mungkin bertimpa-timpa ke atas mereka ketika berdakwah. Sama ada sekaya Nabi Sulaiman atau semiskin Rasulullah S.A.W yang tiada meninggalkan harta kecuali beberapa benda sewaktu wafatnya, semua disediakan Allah ujian kerana berjuang dia jalanNya.

Saya suka mengambil kisah pimpinan PAS bagi penjelasan ini. Bukanlah mahu memuji berlebihan, tiadalah mereka itu sebanding para Anbiya’, pastinya. Tetapi kerana kita melihat sendiri mereka semua ini. Presiden PAS, semenjak dahulu difitnah semata-mata kerana berjuang untuk menegakkan Islam. Ketua ajaran sesat, Dajal, Iblis, Syaitan, mandi bogel dalam kolah masjidnya, menyeleweng wang derma membeli kenderaan baharu. Seusai menjadi MB, tidak lama kemudian dituduh menikahi anak gadis berumur 18 tahun, salah guna kuasa terutama dalam hal balak dan banyak lagi.

- Advertisement -

Apa yang beliau tidak dituduh? Ironinya, tiada satu pun tuduhan itu betul atau berjaya dibuktikan. Seingat saya, maaf jika salah, setelah lebih setengah abad, hanya berkenaan isu Sarawak Report (SR) dan satu lagi tuduhan namanya sebagai pengganas Antarabangsa, saman dikemukakan. Bagi kes SR, beliau menggunakan namanya itu pun kerana terpaksa mengikut kaedah mahkamah di England. Belum dikira diekori pihak keselamatan, dihalang untuk mengajar, wang Kerajaan Negeri disekat. Sewaktu menjadi pembangkang, beliau tidak diberikan hak yang sepatutnya sebagai ulamak mahupun umarak.

Bagi tuduhan lain, beliau tidak pernah menyaman sesiapa, malah beliau pula yang banyak disaman. Fitnah ini datang dari semua peringkat. Dan beliau pernah mengumumkan bahawa beliau memaafkan semua yang memfitnah beliau, termasuk seorang pelajar perempuan yang mengaku di hadapan beliau dalam satu majlis dialog, tanpa memerli musuhnya dan menumpahkan air mata beliau kerana difitnah? Belum lihat lagi sehingga kini beliau menangis di depan awam asbab fitnah, walau rakan sendiri yang menikam beliau.

Sebagai pendakwah peringkat Antarabangsa, beliau selalu ke luar negara bagi berjumpa, bermesyuarat, seminar, berucap, mewakili kesatuan atau parti. Di sana beliau bertemu dengan semua lapisan pimpinan dunia. Kemahiran siasah beliau ditagih untuk mengeratkan pimpinan dunia Islam dan juga negara-negara yang sedang dilanda krisis. Ya, beliau berjihad melawan musuh Allah. Pun begitu, fitnah tetap juga datang dari kalangan yang mengaku cerdik pandai. Paling ketara sewaktu ‘taqrib mazhab’ dengan Syiah dahulu sehingga mengganggu hubungan beliau dengan Syeikh Yusuf al-Qaradhawi.

Wang beliau dihabiskan ke jalan dakwah. Apa yang beliau dapat dari royalti penulisan buku, misalnya, semua akan dimasukkan ke dalam akaun sekolah beliau. Waktu awal beliau sedang dalam keadaan popular iaitu menjadi ‘fenomena’ awal 80-an dahulu, pernah diberitakan, kereta lama beliau terkadang rosak di tengah jalan. Pakaiannya, rumahnya, semenjak dahulu, begitulah. Tiada penambahan yang ketara kerana sememangnya tiada. Sepatutnya sudah popular, kenalah mewah kan? Tapi pelik, tidak begitu.

Gaya bahasanya mengikat hati pendengar dalam setiap kuliahnya. Allah kurniakan kepintaran beliau menyesuaikan kehendak pendengar. Mungkin ada yang bertanya, kenapa beliau tidak sahaja ke lorong-lorong atau bawah jambatan untuk berdakwah? Begini, dakwah ini kita boleh ibaratkan sebagai berniaga. Keperluannya sentiasa ada, tetapi jenis kedai juga berbeza. Ada perniagaan yang memerlukan peniaga pergi kepada pelanggan seperti penjual sayur berkenderaan. Ada pula yang menjadi pemborong.

Oleh itu, tidak sama penanda aras itu. Orang alim peringkat dunia yang banyak ilmu, pastinya mempunyai waktu yang amat ketat. Ke luar negara, ke situ ke sini. Mereka bagaikan gedung pemborong, modalnya besar. Orang ramailah yang mendatangi gedung. Manakala pendakwah yang boleh ke rumah-rumah, lorong-lorong, diibaratkan sebagai peniaga bergerak kecil-kecilan kerana modal terbatas. Beliau bukan ‘one man show’, punyai organisasi membantunya dalam dakwah supaya dakwah kekal berjalan di semua peringkat. Pembantu-pembantu rapat beliau tidak berani menulis atau berbuat onar sesuka hati atau menyombong.

Beliau digelar Tuan Guru. Semua akur dengan gelaran itu kerana beliau mempunyai ilmu yang cukup tinggi diakui dunia. Ada juga pendakwah yang diangkat menjadi ‘Tuan Guru’ oleh pengikut mereka yang taasub, walaupun latar belakang agamanya entah apa-apa. Baik perangai itu bagus, tetapi ilmu membezakan segalanya. Ditegaskan dalam al-Quran, tidak sama antara orang yang berilmu dengan yang kurang ilmu.

Anak dan isteri beliau sudah mangli dengan cacian kepada beliau. Tiada pernah beliau gunakan anak isteri beliau sebagai perisai untuk melawan fitnah. Anak-anak beliau diajar dengan sikap tegas. Tidak manja. Pernah saya menemuramah YB Ustaz Khalil berkenaan fitnah terhadap ayahandanya. Saya ingin menulis beliau bersedih, tetapi kata beliau, ana tak rasa sedih sikit pun, sudah menjadi adat pejuang agama difitnah. Begitulah kuatnya hati anak-anak beliau. Isteri beliau juga tidak mengadu apa-apa.

Manakala Almarhum Dr Haron Din pula, ketika hayatnya mempunyai beberapa buah masjid yang beliau bina. Sedekah beliau kepada PAS Perlis sehingga sekitar tahun 2005, saya dimaklumkan lebih sejuta RM. Sekolah Agama Behor Mali, sekolah beliau dahulu, terletak di kampung asal beliau juga sentiasa mendapat sumbangan beliau. Darul Syifa’ tidak pernah mengenakan bayaran apa-apa. Tidak diminta, jika diberi, tidak ditolak. Beliau mempunyai ladang gaharu sendiri, pendapatan sebagai panel syariah bank dan banyak lagi.

Kita boleh perhatikan, sumbangan mereka yang alim ini berbeza tujuannya, lebih kepada menyediakan platform ilmu. Ya, miskin mesti dibantu, tetapi ilmu mesti diberi keutamaan kepada mereka. Inilah beza acara berfikir antara orang berilmu dengan yang tidak berilmu. Jika sentiasa memberi kepada orang miskin tanpa ilmu, ia tidak akan mengubah perangai mereka. Lebih utama, berikan ilmu agar mereka takutkan Allah, tidak perlu jadi kaya, sebab kaya atau miskin, semua akan mati. Takwa yang membezakan.

Sumbangan mereka semua ini tidak diketahui ramai, tetapi melalui cerita mulut ke mulut, bukan mereka sendiri menggunakan tim untuk menghebahkannya. Sebagaimana kisah Saidina Umar membantu rakyatnya, kita mendengar cerita itu mungkin dari perkhabaran pembantu beliau, atau dari rakyat yang beliau bantu itu, turun kisah itu kepada orang lain. Ia tersebar, tetapi bukan Umar yang menyebarkan.

Ada orang berkata ulamak ini ada juga yang jahat, tetapi orang baik itu, sememangnya dia betul-betul baik. Ya benar, ulamak ada yang jahat, tetapi orang yang baik itu, sebaik mana pun dia, tiadalah ada ilmu sebagaimana ulamak itu. Ulamak yang jahat, jika bertaubat, dengan ilmunya, akan menjadi lebih mulia daripada orang baik yang jahil. Manakala si jahil tadi sama ada baik atau jahat, tetap kekallah dia dengan kejahilan itu. Apalagi jika mahu dibandingan dengan ulamak yang baik dan ikhlas.

Ulamak jika berbuat sesuatu, mereka tahu dan akan menghindari fitnah, manakala orang yang jahil, walaupun baik, mereka tidak tahu yang mereka lakukan itu adalah fitnah. Ulamak akan berpandukan ilmu suluhan dari Quran dan Sunnah sebagai pedoman. Orang jahil, mungkin netizen menjadi rujukan mereka. Semakin ramai menyokong, dikira semakin benarlah mereka, walau berterabur fitnah dilakukan mereka bersama, dengan bahasa makian, langsung tidak ditegur salah itu, sebab tidak kenal apa itu kerosakan. Orang tiada ilmu, apa yang kita harapkan? Tidur orang alim lebih ditakuti syaitan daripada seorang abid yang sedang beribadat.

Saya yakin, anda dapat mengenali pendakwah yang sebenar dan yang berilmu. Ulamak dunia apabila datang ke Malaysia, mencari beliau untuk berbincang walau setelah lebih 50 tahun dikata menipu guna agama. Sehingga adakalanya disekat bertemu. Mungkin kita boleh menipu kepada beberapa orang dalam beberapa waktu yang berbeza. Namun mustahil boleh menipu semua orang pada setiap masa. Adakah saya taasub? Tidak, tetapi saya menemui tanda-tanda itu. Pastinya tidak kita tahu keikhlasan hati seseorang, tetapi Allah kan ada memberikannya tanda-tandanya. Carilah dalam Quran dan Hadis akan tanda-tandanya.

MOHD NASIR ABDULLAH
24 Julai 2021 – HARAKAHDAILY 24/7/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/1295779460/posts/10225169044035289/

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -