Siarkan mesyuarat MPN secara langsung

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat dan Perumahan (REACH) berpandangan mesyuarat Majlis Pemulihan Negara (MPN) perlu disiarkan secara langsung kerana ia merupakan platform yang paling penting bagi membincangkan strategi untuk membawa negara keluar dari cengkaman pandemik Covid-19.

Ketua Penyelaras REACH, Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata, penyiaran secara langsung akan memberi peluang kepada rakyat untuk mengikuti sendiri perkembangan-perkembangan yang akan memberi kesan kepada kehidupan dan masa depan mereka.

- Advertisement -

Katanya, ia amat penting kerana hari ini berita-berita palsu dan berita-berita mengelirukan disebarkan secara meluas oleh itu siaran secara langsung ini dapat mengelakan perbincangan dan keputusan mesyuarat disalah tafsir.

Menurut beliau, tambahan pula sekiranya rakaman mesyuarat itu dibocorkan tanpa kebenaran maka ia tidak akan dapat diputar belit kerana rakyat boleh merujuk kepada rakaman asal.

Selain dari itu rakyat kata beliau ia dapat menilai prestasi dan sumbangan ahli-ahli mesyuarat.

“Adakah mereka memainkan peranan mereka untuk mencari penyelesaian kepada masalah rakyat atau sekadar bermain politik,” katanya.

REACH mengucapkan tahniah kepada kerajaan kerana telah menjadikan MPN inklusif dengan melibatkan parti-parti bukan kerajaan, NGO dan pakar-pakar.

Beliau berkata, Kerajaan mesti memastikan setiap parti utama sama ada parti kerajaan atau parti bukan kerajaan mempunyai wakil mereka di dalam MPN.

Katanya, pandangan rakyat biasa juga perlu diambil kira justeru itu satu kaedah di mana mereka boleh memberikan pandangan, cadangan atau maklum balas perlu diwujudkan.

“Ia mungkin berbentuk laman web yang khusus. Bukan semua rakyat adalah ahli parti atau ahli NGO tetapi mereka juga ingin menyumbang,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/7/2021

- Advertisement -