MWA sokong hukuman lebih berat kesalahan cemar sumber air, alam sekitar

- Advertisement -

Oleh DR IR TS MOHMAD ASARI DAUD

PERSATUAN Air Malaysia (Malaysian Water Association), semalam mengadakan Mesyuarat Penuh Persatuan secara maya selaras dengan SOP yang ditetapkan oleh Kerajaan dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara pada masa ini. Salah satu perkara utama yang dibincangkan adalah isu gangguan bekalan air terawat akibat pencemaran sumber air mentah yang berlaku di Ulu Keratong dekat Pahang dan permasalahan pembekalan bahan kimia akibat pelaksanaan SOP ke atas operasi kilang.

Lanjutan insiden gangguan bekalan air terawat di Keratong baru-baru ini, MWA berasa amat bimbang dengan kejadian ini kerana ianya menjejaskan pelbagai aktiviti harian masyarakat terutama ketika negara berhadapan dengan pandemik Covid-19. Turut terjejas tentunya pengguna-penguna daripada sektor industri dan komersil yang mana mengalami gangguan terhadap operasi dan mungkin melibatkan kerugian yang besar kepada syarikat terutama ketika ini berhadapan dengan pelbagai cabaran baru.

MWA memuji tindakan pantas Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) serta operator-operator air dari seluruh negara yang turut memberikan bantuan bagi meringankan masalah yang dihadapi oleh penduduk-penduduk di kawasan terbabit.

- Advertisement -

Kejadian yang berlaku di Ulu Keratong, Pahang itu telah menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Keratong yang menerima sumber air mentah dari Sungai Pukin dekat Rompin tidak dapat beroperasi sepenuhnya dan pihak Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) terpaksa menyediakan sejumlah 300 buah tangki air statik dan 46 buah lori tangki ke kawasan yang terjejas. LRA Keratong tidak dapat beroperasi kerana insiden pencemaran di Sungai Pukin, Rompin. Pencemaran berpuncadaripada kejadian tebing kolam penyimpanan air sisa kilang kelapa sawit yang runtuh dan telah memberi kesan buruk kepada 11,500 pemegang akaun PAIP. Bantuan lori tangki juga diperolehi daripada operator-operator negeri lain yang diselaraskan oleh SPAN sebagai langkah bagi mengurangkan impak gangguan operasi bekalan air terawat di kawasan berkenaan.

Situasi ini bukanlah kali pertama berlaku di negara kita, namun pihak yang terbabit tidak mahu mengambil pengajaran daripada keperitan pengguna bekalan air terawat yang terjejas. MWA sebagai Badan Peneraju Industri (Industry Lead Body) untuk industri air dan pembetungan yang juga dilantik oleh Kerajaan memandang serius perkara sebegini dan menyuarakan kebimbangan kami terhadap masa depan industri ini sekiranya kejadian seperti ini terus berulang.

Pencemaran ke atas sumber air mentah yang kerap berulang ini mengakibatkan loji rawatan air terbabit tidak dapat meneruskan operasi untuk merawat air mentah. Ini kerana operasi loji rawatan air bergantung kepada tahap kualiti air mentah (kebanyakannya bersumber dari sungai) yang tertentu. Pihak operator air pula bertanggungjawab bagi memberhentikan operasi merawat air sekiranya kualiti air di muka sauk tidak mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh SPAN mahupun pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Gangguan operasi yang tidak dirancang seperti ini sering menyebabkan gangguan kepada operasi penyaluran bekalan air terawat kepada pengguna.

Akhir tahun lalu, pengguna-pengguna bekalan air terutama di Selangor dan Wilayah Persekutuan terpaksa berhadapan dengan insiden pencemaran sungai yang menyebabkan beberapa loji rawatan air utama henti tugas. Insiden kekerapan penutupan LRA Sungai Selangor dan LRA Rantau Panjang adalah berpunca daripada pencemaran sumber air mentah yang disebabkan oleh industri dan pembuangan limbah haram. Penutupan berulang kali juga berlaku di loji rawatan lainnya. Antaranya, LRA Semenyih dan LRA Sungai Selisik di Selangor serta penutupan LRA Sungai Sayong, LRA Semangar, LRA Sungai Johor, LRA Simpang Renggam, LRA Skudai dan LRA PUB Tai Hong di Johor. Loji-loji terbabit pernah berhadapan dengan insiden henti tugas sepenuhnya akibat pencemaran sumber air mentah yang didapati berpunca daripada kejadian kebocoran kolam air larutan resapan (leachate) di tapak-tapak pelupusan sampah, pelepasan tidak mematuhi peraturan dari kilang-kilang serta kecuaian pihak-pihak yang mengendalikan bahan- bahan pencemar sehingga menyebabkan pencemaran air mentah. Kes terbaru yang berlaku di Ulu Keratong pula amat mengejutkan kerana pencemaran sebegini juga berlaku di kawasan luar bandar. Ini bermakna pada masa kini, insiden pencemaran sumber air mentah di sungai-sungai tidak hanya berlaku di kawasan maju dan kawasan perindustrian seperti di negeri Selangor dan Johor.

Adakah mereka yang melakukan kesalahan mencemarkan sumber air sedar implikasi dari tindakan mereka? Adakah undang-undang yang sedia ada terlalu ringan dan jumlah denda atau penalti terlalu kecil untuk para pencemar berbanding pendapatan harian mereka? Adakah hukuman yang diberikan terlalu ringan sehingga mereka tidak merasa bimbang untuk mengulanginya beberapa kali?

MWA menyokong hasrat Kementerian untuk mengenakan tindakan yang lebih tegas dan hukuman yang lebih berat bagi kesalahan mencemarkan sumber air dan alam sekitar. YB Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man pernah menyatakan bahawa pihak yang melakukan pencemaran sisa buangan terjadual boleh berdepan dengan hukuman denda lebih berat sehingga RM15 juta sepertimana yang akan dicadangkan dalam pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang sedang disemak semula kerana kompaun sedia ada terhadap pesalah sangat ringan. Beliau menekankan bahawa pihak Kerajaan mahu menaikkan jumlah denda sehingga RM15 juta serta mengenakan hukuman penjara mandatori. Ini kerana apabila berlaku pencemaran, loji rawatan air terpaksa ditutup manakala pihak operator air pula terpaksa menyediakan lori tangki dan sejumlah tangki statik untuk dihantar kepada penduduk terjejas tanpa dicaj. Keadaan ini telah menyebabkan operator bekalan air perlu menanggung kos sehingga berjuta ringgit untuk menyediakan bekalan air terawat sepanjang loji tidak beroperasi sedangkan pihak lain yang bertanggungjawab dan mengakibatkan pencemaran sumber air mentah tersebut

Sehubungan itu, pihak MWA beranggapan sudah tiba waktunya bagi semua pemegang taruh dalam industri air untuk meningkatkan usaha secara bersepadu untuk memastikan kejadian seperti ini tidak berulang di masa depan. Selain undang- undang dan peraturan yang lebih ketat, penguatkuasaan dan hukuman yang dikenakan hendaklah mampu menjadi deterrent (pencegah) kepada mereka yang tidak bertanggungjawab ini. Hukuman yang ringan dan terlalu kecil berbanding keuntungan perniagaan mereka menyebabkan insiden seperti ini masih lagi tidak dapat dibanteras. Usaha bersama oleh masyarakat dan semua pihak yang berkepentingan harus digembeling ke arah kesejahteraan persekitaran kita dan membantu untuk mencegah kejadian pencemaran sumber air mentah berulang. Ia sekali gus dapat mengurangkan kejadian gangguan bekalan air terawat kepada pengguna

Seperti mana yang disebutkan pada awal kenyataan akhbar ini, terdapat laporan kekurangan bekalan bahan kimia yang kerap digunapakai dalam proses merawat air dan ia perlu diberikan perhatian supaya tidak menjejaskan operasi loji rawatan air terutama ketika sedang dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara ini. Adalah dikhuatiri bahawa kekurangan bekalan bahan kimia akan menimbulkan masalah kepada kelancaran operasi loji rawatan air di seluruh negara sekiranya permintaan ke atas bahan tersebut tidak dapat dipenuhi. Ianya juga nanti boleh memberikan impak kepada pengeluaran air terawat untuk keperluan domestik, komersil dan juga industri.

MWA juga ingin menyuarakan rungutan daripada pihak industri air yang terjejas dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah dilaksanakan dan mengharapkan pertimbangan daripada pihak Kerajaan untuk meluluskan kebenaran bertugas dan pengoperasian secara optimum bagi operator bekalan air dan pembetungan serta industri yang berkait dalam rantaian bekalan industri air dan pembetungan. Ia termasuklah pembekal bahan kimia, pembekalan peralatan dan bahan mentah untuk kegunaan pembinaan infrastruktur dan baik pulih loji rawatan bekalan air dan loji air kumbahan. Begitu juga bengkel-bengkel pembaikan yang perlu beroperasi untuk memastikan penyenggaraan peralatan dan jentera yang digunakan dalam industri ini dapat disokong dan tidak mengalami kelewatan pembaikan dan penyenggaraan. Tanpa perkhidmatan yang disebutkan, bekalan air yang merupakan essential service mungkin berhadapan dengan masalah untuk memberikan perkhidmatan secara berterusan. Namun kami sedar bahawa kebenaran ini mestilah mengikut garis panduan dan SOP yang telah ditetapkan oleh pihak Kerajaan.

Pihak MWA juga menyeru supaya operator perkhidmatan air dan pembetungan dapat diberi keutamaan dalam memperolehi vaksin. Ini kerana kebanyakan barisan hadapan bagi industri air dan pembentungan begitu terdedah kepada orang ramai ketika bertugas untuk membekalkan air terawat kepada masyarakat umumnya dan juga bagi memastikan kelestarian alam sekitar dapat dijaga. – HARAKAHDAILY 24/7/2021

Penulis ialah Presiden Persatuan Air Malaysia (MWA).

- Advertisement -