Meraikan tabiat akal dalam hidup berjamaah

SIMPLISTIK boleh dikatakan banyak punca. Antaranya malas berfikir, malas mengkaji dan sebagainya. Disebabkan malas, para ‘penganut’ simplistik akan mengeluarkan kenyataan seperti:

“Takyah susah-susah fikir, ikut aje …”

Disebabkan malas itulah, golongan ini bermudah mudah mengeluarkan hukum sambil minum susu, menutup ruang dialog dan berhujah, dan gemar bermain falasi. Kita perlu sedar bahawa manusia itu dibekalkan akal untuk berfikir. Apabila arahan berbentuk ‘tak perlu susah-susah berfikir’ selalu disumbat dalam minda, maka akal itu secara warasnya akan tertanya-tanya ‘kenapa aku perlu ikut arahan ini?’

Advertisement

Bahkan apabila ditanya kepada orang yang memberi arahan itu, orang itu gagal memberikan rasional yang terbaik. Menyebabkan akal itu akan terus menerus tertanya-tanya. Inilah tabiat akal.

Sebab itu apabila kita meneliti manhaj al-Quran, arahan Allah S.W.T pasti disalut dengan rasional yang terbaik.

Allah S.W.T suruh kita menyembahNya, kerana Allah S.W.T membuktikan secara akal bahawa Dialah yang menciptakan kita. Iaitu Dia mampu ciptakan langit dan bumi yang dapat kita saksikan dengan mata, apalah sangat untuk mencipta manusia:

وَفِي الْأَرْضِ آيَاتٌ لِّلْمُوقِنِينَ (*) وَفِي أَنفُسِكُمْ ۚ أَفَلَا تُبْصِرُونَ 

“Dan pada bumi ada tanda-tanda (yang membuktikan keesaan dan kekuasaan Allah) bagi orang-orang (yang mahu mencapai pengetahuan) yang yakin, Dan juga pada diri kamu sendiri. Maka mengapa kamu tidak mahu melihat serta memikirkan (dalil-dalil dan bukti itu)?”

(az-Zariyat: 20-21)

Allah S.W.T suruh kita mengikuti sistem aturannya, kerana Allah S.W.T membuktikan secara akal bahawa Dialah yang lebih mengetahui. Iaitu Dia mampu ciptakan sistem alam termasuk cakerawala, membuktikan Dia adalah Maha Mengetahui:

أَوَلَمْ يَرَ الَّذِينَ كَفَرُوا أَنَّ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ كَانَتَا رَتْقًا فَفَتَقْنَاهُمَا ۖ وَجَعَلْنَا مِنَ الْمَاءِ كُلَّ شَيْءٍ حَيٍّ ۖ أَفَلَا يُؤْمِنُونَ

Dan tidakkah orang-orang kafir itu memikirkan dan mempercayai bahawa sesungguhnya langit dan bumi itu pada asal mulanya bercantum (sebagai benda yang satu), lalu Kami pisahkan antara keduanya? Dan Kami jadikan dari air, tiap-tiap benda yang hidup? Maka mengapa mereka tidak mahu beriman?”

(al-Anbiya: 30)

Banyak lagi ayat-ayat al-Quran yang boleh dihuraikan dalam bentuk ‘real’, bukannya fantasi apatah lagi mistik dan serba misteri. Segalanya adalah untuk meraikan tabiat akal manusia. 

Tetapi akal manusia itu terbatas, dan Allah S.W.T buktikan keterbatasan akal manusia ini. Contoh firmanNya:

وَيَسْأَلُونَكَ عَنِ الرُّوحِ ۖ قُلِ الرُّوحُ مِنْ أَمْرِ رَبِّي وَمَا أُوتِيتُم مِّنَ الْعِلْمِ إِلَّا قَلِيلًا

“Dan mereka bertanya kepadamu mengenai roh. Katakan: “Roh itu dari perkara urusan Tuhanku; dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja”.”

(al-Israa: 85)

Ya, akal manusia tidak dapat berfikir melangkaui kemampuannya. Ini juga bukan menunjukkan kelemahan Tuhan yang mencipta akal, akan tetapi ia adalah bukti kekuasaanNya.

Iaitu Allah S.W.T membuktikan bahawa manusia itu lemah. Banyak perkara yang manusia tidak terjangkau untuk mengetahuinya:

وَعِندَهُ مَفَاتِحُ الْغَيْبِ لَا يَعْلَمُهَا إِلَّا هُوَ ۚ وَيَعْلَمُ مَا فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ ۚ وَمَا تَسْقُطُ مِن وَرَقَةٍ إِلَّا يَعْلَمُهَا وَلَا حَبَّةٍ فِي ظُلُمَاتِ الْأَرْضِ وَلَا رَطْبٍ وَلَا يَابِسٍ إِلَّا فِي كِتَابٍ مُّبِينٍ

“Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada sesiapa yang mengetahuinya melainkan Dia lah sahaja; dan Ia mengetahui apa yang ada di darat dan di laut; dan tidak gugur sehelai daun pun melainkan Ia mengetahuinya, dan tidak gugur sebutir biji pun dalam kegelapan bumi dan tidak gugur yang basah dan yang kering, melainkan (semuanya) ada tertulis di dalam kitab (Lauh Mahfuz) yang terang nyata.”

(al-An’aam: 59)

TujuanNya supaya manusia itu sering merasa perlu bergantung pada Allah S.W.T. Manusia tidak dapat menyusun sistem yang lebih baik daripada sistem Tuhan:

وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللَّهِ حُكْمًا لِّقَوْمٍ يُوقِنُونَ

“Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliyah? Padahal – kepada orang-orang yang penuh keyakinan – tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih pada daripada Allah.”

(al-Maaidah: 50)

Dalam bab organisasi, pimpinan adalah manusia dan ahli juga adalah manusia. Kedua-duanya mempunyai akal sekalipun ia terbatas.

Justeru, apabila kita menyedari hal itu, kita perlu meraikan tabiat akal manusia yang secara normalnya memerlukan rasional dalam hal-hal yang berkaitan dengan susunan organisasi serta strateginya.

Seorang pemimpin sesebuah organisasi tidak sampai tahap sebagai tuhan pun untuk mendakwa ‘aku lebih tahu dari kamu’. Sedangkan kita perlu sedar, bahawa Tuhan yang sebenar berfirman:

قَالَ إِنِّي أَعْلَمُ مَا لَا تَعْلَمُونَ

“Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya.”

(al-Baqarah: 30)

Lainlah kalau organisasi itu adalah miliknya, dan dia sebagai bos berhak merahsiakan rahsia syarikatnya. Apabila bos bagi arahan, pekerja tak perlu tanya pun kenapa aku perlu ikut arahan. Ini kerana dia sedar dia itu pekerja, dan dia perlu ikut arahan kerana dia makan gaji.

Tetapi arahan bos kepada pekerjanya tidaklah boleh sampai tahap menyuruh melakukan perkara yang melanggar perintah Tuhan.

Sabda Nabi S.A.W:

لا طاعة لمخلوق في معصية الخالق

“Tiada ketaatan kepada makhluk dalam perkara maksiat kepada Pencipta.”

Ini kerana walaupun dia bos, tetapi dia masih hamba Tuhan. Walaupun bos, ia tetap manusia. Dalam konsep organisasi persatuan contohnya, kita tidak boleh menyamakan dengan konsep syarikat perniagaan. Apatah lagi seolah-olah mengclaim organisasi ini aku yang punya sehingga menganggap pimpinan sebagai majikan, manakala ahli sebagai pekerja.

Persatuan atau jamaah adalah gerak kerja kolektif. Masing-masing ada posisi masing-masing. Dalam situasi ini, tabiat akal lebih perlu diraikan, bagi membentuk gerak kerja yang kolektif itu.

Maka, setiap gerak kerja berjamaah atau berorganisasi perlu jelas objektif dan perancangannya, supaya masing-masing boleh mendukung objektif tersebut. Sekiranya objektif atau perancangan tak jelas, bahkan tidak dijelaskan kepada ahli secara jelas, bagaimanakah ingin wujudkan gerak kerja kolektif?

Fathi Yakan ada menjelaskan perkara ini dalam ماذا يعني إنتمائي للإسلام bahawa antara keperluan yang mesti adalah dalam sesebuah jamaah (organisasi) adalah kejelasan matlamat (objektif) dan wasilah (gerak kerja).

Kolektif ini terhasil daripada kesatuan cara berfikir dan gerak kerja. Sekiranya sesuatu arahan itu diberikan tanpa meraikan tabiat akal, bagaimana boleh satukan cara berfikir? 

Maka akan lahirlah kepelbagaian cara berfikir yang menatijahkan kepada bibit-bibit perpecahan, dan akhirnya mengundang kepada hilang kepercayaan sesama sendiri.

MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 24/7/2021