Enam fakta menarik Tokyo 2020

- Advertisement -

TOKYO: Olimpik Tokyo yang ditangguhkan sebelum ini akhirnya membuka tirainya pada Jumaat malam. Menurut Xinhua ada enam perkara menarik yang dapat disaksikan dalam temasya kali ini.

- Advertisement -

1. Pandemik

Sudah tentu arena sukan antara paling terkesan dengan pandemik Covid-19. Penganjur mengumumkan pada 24 Mac 2020 bahawa Olimpik Tokyo yang dijadualkan antara 24 Julai dan 9 Ogos 2020, terpaksa ditunda. Beberapa hari kemudian tarikh baharu diumumkan, antara 23 Julai dan 8 Ogos 2021, menandakan buat julung kali Olimpik ditunda sejak 124 tahun.

Penganjur bertungkus lumus untuk penganjuran sukan ini, memastikan setiap langkah pencegahan dan protokol kesihatan telah dilaksanakan demi memastikan keselamatan semua.

Olimpik diadakan di tengah-tengah perintah darurat dikuat kuasa di Tokyo, tiada penonton dibenarkan hadir di Stadium Baseball Fukushima Azuma dan Kubah Sapporo. Hanya acara yang berlangsung di wilayah Miyagi, Ibaraki dan Shizuoka sahaja boleh dihadiri penonton.

Menurut edisi ketiga dan terkini Tokyo 2020 Palybook, diterbitkan pada 15 Jun, atlet yang melanggar protokol Covid-19 mungkin tidak dibenarkan bertanding atau kelayakan mereka dibatalkan.

2. Sukan baharu

Sukan Olimpik Tokyo bakal menampilkan 33 rekod dan 339 acara. Pada 2016, Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) meluluskan lima sukan baharu untuk Olimpik Tokyo, iaitu bola keranjang dan sofbal, karate, skateboarding, sport climbing dan surfing.

Sofbal dan besbol kembali ke pentas Olimpik selepas 13 tahun tidak dipertandingkan.

3. Delegasi terbesar

Sebanyak 206 Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan (NOC) dan pasukan Olimpik pelarian IOC akan mengambil bahagian kali ini. China menghantar delegasi terbesar, seramai 777 anggota. Seramai 431 atlet akan bertanding dalam 225 acara. Jawatankuasa Olimpik dan Paralimpik Amerika Syarikat pula menghantar seramai 613 anggota manakala Jepun diwakili 582 peserta.

4. Pasukan pelarian

Pasukan Olimpik Pelarian melangkah ke gelanggang Olimpik untuk kali kedua, selepas penampilan sulung di Rio pada 2016. Seramai 29 atlet akan mewakili pasukan IOC Refugee Olympic (EOR) untuk 12 acara.

5. Penyertaan seimbang

Pada Hari Wanita Antarabangsa, IOC mengumumkan bahawa berdasarkan peruntukan kuota, hampir 49 peratus atlet yang menyertai Olimpik Tokyo 2020 adalah wanita, menjadikannya sukan pertama yang menyaksikan penampilan gender yang seimbang, dan pertama kali dalam sejarah.

Buat julung kali juga semua NOC wajib mempunyai sekurang-kurangnya satu atlet wanita dan satu atlet lelaki dalam pasukan Olimpik masing-masing.

Semua 206 NOC dan pasukan IOC Refugee Olympic juga perlu mewakilkan seorang atlet wanita dan atlet lelaki untuk membawa bendera pada upacara pembukaan.

6. Permainan hijau

Menurut laporan, tenaga elektrik yang digunakan di Olimpik Tokyo dihasilkan 100 peratus daripada tenaga boleh baharu.Podium dihasilkan menggunakan plastik post-consumer yang akan “digunakan” semula selepas temasya berakhir.

Pingat pula diperbuat daripada logam elektronik kitar semula yang dikumpulkan di seluruh Jepun sejak April 2017. Katil di perkampungan Olimpik direka menggunakan kadbod yang boleh dikitar semula dan tilam diperbuat daripada polietilena, akan digunakan semula untuk produk plastik. – BERNAMA

- Advertisement -