Oleh PROF MADYA DR FUAD SALLEH
TERPAPAR jelas dendam kesumat Pakatan Harapan (PH) terhadap PAS dan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang telah dibentuk secara berperlembagaan setelah ia dijatuhkan sendiri oleh Perdana Menteri yang mereka lantik selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Masakan tidak, kerana ada menteri PH yang keluar negara menaiki kenderaan rasmi tetapi bila pulang terpaksa naik kereta sendiri kerana Kerajaan PH telah jatuh pada 24 Februari 2020 setelah Perdana Menteri, Tun Mahathir meletak jawatan dan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali memberikan kenyataan media bahawa Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan membatalkan semua tugas jemaah menteri dan anggota pentadbirannya pada lewat senja hari yang sama.
Keseronokan menguasai Putrajaya selama 21 bulan bermula dari 18 Mei 2018 berakhir pada tengah hari 24 Februari 2020 selepas mengharung bermacam perbalahan sesama sendiri yang kemuncaknya ialah pada hari Jumaat 21 Februari 2020 apabila ramai kalangan yang hadir mesyuarat PH pada malam itu meminta dan menekan Tun Mahathir supaya menyerahkan jawatan kepada Anwar Ibrahim. (https://www.sinarharian.com.my/…/Runtuhnya-kerajaan…)
21 bulan PH memerintah Malaysia tanpa menunaikan janji-janji yang dipaparkan dalam manifesto PRU14 yang menyebabkan rakyat sangat teruja dengan janji-janji berkenaan, ditambah dengan banyaknya berita negatif mengenai PM ke-7 dan kerajaan BN yang memerintah waktu itu.
Dengan kuasa tular dan PH berjaya menguasai minda pengundi, BN tumbang dalam PRU14. Namun 21 bulan berikutnya menyaksikan janji menghapus tol, menurunkan harga minyak, isu PTPTN dan sebagainya gagal ditunaikan oleh PH dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri mengakui kegagalan PH itu (https://www.sinarharian.com.my/…/Anwar-mohon-maaf-PH…) yang akhirnya membawa kejatuhan kerajaan PH setelah PH gagal mengatasi perbalahan dalaman.
Sejak itu bermulalah serangan ‘Kerajaan Pintu Belakang’ dan sebagainya terhadap kerajaan Perikatan Nasional yang ditubuhkan ada 29 Februari 2020 dengan pelantikan Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-8. (https://www.bharian.com.my/…/muhyiddin-dilantik-pm-ke-8…)
Tan Sri Muhyiddin Yassin kemudiannya menubukan kerajaan dengan menamakan menteri-menteri kabinetnya untuk mentadbir negara yang sudah mula diancam wabak Covid-19 kerana kerajaan PH tidak bertindak menghalang kemasukan pelancong asing dari negara yang telah dijangkiti wabak berkenaan yang menjadi punca merebaknya Covid-19. Berita keengganan kerajaan menghalang kemasukan pelancong dari China dinyatakan oleh Timbalan Pedana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail (https://www.bharian.com.my/…/kerajaan-belum-cadang…) dan diperkuat dengan kenyataan Perdana Menteri Tun Mahathir. (https://www.sinarharian.com.my/…/Koronavirus-Tiada…).
Sejak itu kes jangkitan Covid-19 semakin meningkat sehingga hampir mencecah satu juta. PH berjanji lagi untuk mengurus dan membawa Malaysia keluar dari pandemik Covid-19 jika diberi peluang menerajui Putrajaya. Berjanji lagi! Janji lama tak tertunai ada hati berjanji lagi. Sebelum memberi janji manis elok PH buktikan kemampuannya menangani Covid-19 di negeri-negeri yang dikuasainya, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang. Pada 23 Julai 2020, sebanyak 15,573 kes positif baru dicatat. Selangor menyumbang 7,672 kes (49.26 peratus), Negeri Sembilan mencatat 682 (4.38 peratus) dan Pulau Pinang pula menyumbang 530 kes baru (3.40 peratus) daripada keseluruhan kes baru. Berdasarkan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 sebanyak 980,491 Selangor merupakan penyumbang keseluruhan tertinggi dengan jumlah 351,618 (35.86 peratus), Negeri Sembilan 65,477 (6.68 peratus) dan Pulau Pinang 41,019 (4.18 peratus). Secara keseluruhan negeri-negeri PH menyumbang sebanyak 458,114 kes positif Covid-19 iaitu 46.72 peratus daripada keseluruhan kes positif di Malaysia.
Selangor telah menubuhkan ‘Task Force’ sendiri diketuai oleh mantan Menteri Kesihatan dan dianggotai oleh Dr. Mariah serta beberapa individu yang dikatakan pakar dalam menangani Covid-19, namun sehingga kini tiada hasil positif ditunjukkan.
Selangor terus mendahului negeri-negeri lain dan menjadi penyumbang terbesar kes positif Covid-19. Di mana pasukan pakar mereka? Di mana Datuk Seri Anwar Ibrahim sekarang? Benar seperti yang dikatakan oleh Tuan Guru Abdul Hadi, PH jangan terus bermain persepsi meracuni fikiran rakyat dengan menggunakan media sosial untuk mengganggu kerja-kerja kerajaan PN menangani pandemik ini. Cukuplah dengan janji palsu yang dulu, jangan tambahkan lagi janji yang tak akan tertunai. Benar jugalah tulisan Tuan Guru Abdul Hadi yang mengingatkan PH supaya berpolitik dengan jujur, bukan dengan menipu rakyat. Berpolitik secara bersih, bukan mengamalkan politik kotor kerana sibuk mahu merebut jawatan Perdana Menteri dan menabur janji. Berkas kayu yang terpikul di belakang PH masih banyak, jangan ditambah dengan kayu baru.
Buktikan bahawa kamu jujur mahu membantu rakyat. Buktikan bahawa kamu mampu menangani pandemik ini dengan menurunkan angka di tiga negeri yang kamu kuasai. Buktikan juga kamu bersungguh menghapuskan kilang-kilang haram yang menjadi penyumbang kepada pencemaran alam sekitar dan juga peningkatan kes positif Covid-19. Kemudian buktikan juga kamu mahu membantu kerajaan yang menjadi musuh kamu menangani pandemik ini kerana lebih cepat ia diatasi, lebih segera PRU15 boleh diadakan. Jangan mangsakan rakyat kerana kerakusan mahu menjadi Perdana Menteri dan mahukan kerusi-kerusi menteri kabinet.
Jika kamu tidak mampu melakukannya, berpolitiklah secara bersih dan tunggu saat sesuai untuk menentukan kerusi yang kamu akan bertanding pada PRU15 nanti. Jika terus diganggu, ia akan melambatkan usaha menamatkan pandemik ini dan kesannya ialah semakin lambat untuk parlimen dibubarkan. Maka semakin lambatlah PRU15 akan diadakan. Bersama kita hadapi pandemik Covid-19 ini dan bersedialah menghadapi PRU15. – HARAKAHDAILY 24/7/2021
Penulis ialah Timbalan Pesuruhjaya 3 PAS Selangor.