26 ekor lembu korban ditumbangkan di Besut

- Advertisement -

Oleh SRIHAYANIS ABASRI

KUALA LUMPUR: Sebanyak 26 ekor lembu selamat dikorbankan dalam Program Korban Besut 2021 anjuran Pejabat Penyelaras Parlimen Besut dengan kerjasama kompleks pendidikan Tahfiz An-Nur Besut.

Program ini juga mendapat kerjasama daripada jaringan sivil masyarakat di Besut seperti relawan Penyelaras Parlimen Besut, Ameerah Care, Usrah Care, KOPU Care (Pertubuhan Komuniti Kota Putera Besut), HB Care (Hulu Besut) dan lain-lain pihak pada 20 hingga 22 Julai sempena perayaan Aidiladha, tahun ini.

- Advertisement -

Penyelarasnya, Dr Riduan Mohd Nor berkata, hampir 1,000 penduduk daerah Besut dapat menikmati manfaat daripada program ini terutama bagi mereka yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

“Majlis korban diadakan setiap tahun bertujuan membantu fakir miskin, mengeratkan ukhwah masyarakat di daerah Besut, membantu madrasah dan sekolah agama kerana daging korban turut diagihkan kepada madrasah, sekolah agama dan pondok di daerah Besut.

“Serta, program ini juga bertujuan untuk menenebarkan kepedulian sosial dalam masyarakat yang semakin terhakis apatah lagi di musim pandemik.

“Walau bagaimanapun, program ini diadakan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan dipantau oleh pihak keselamatan,” katanya ketika dihubungi Harakah, semalam.

Beliau yang juga merangkap Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat, turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, yang telah menyumbangkan seekor lembu untuk menjayakan program ini termasuk Setiausaha Politik, Muhyiddin Abdul Rashid.

Tambahan pula, pihak parlimen Besut juga ingin merakamkan terima kasih kepada seluruh rakyat relawan yang bertungkus-lumus selama tiga hari bagi menjayakan dan merealisasikan kejayaan program ini.

“Semoga program ini terus diadakan pada tahun-tahun akan datang untuk membantu masyarakat dan mengeratkan ukhwah sesama umat Islam di daerah ini,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 24/7/2021

- Advertisement -