Urus 20 ekor haiwan korban sempena Aidil Adha

- Advertisement -

LARUT: Kekangan dan keterbatasan akibat pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 tidak menghalang program ibadah korban disempurnakan Pusat Khidmat ADUN Selama.

Sebanyak 20 lembu, kerbau dan kambing telah disembelih, dilapah dan dagingnya diagihkan kepada para asnaf hasil daripada 98 peserta dalam kalangan penduduk setempat dan penyumbang dari luar.

- Advertisement -

ADUN Selama, Ustaz Mohd Akmal Kamarudin memberitahu, pihak beliau hanya mensasarkan 10 ekor ternakan untuk dikorbankan sempena Hari Raya Aidil Adha ini, namun tidak menyangka mendapat lebih banyak.

“Alhamdulillah tahun ini kita berjaya mengumpulkan lebih ternakan korban hasil kepercayaan diberikan kepada Pusat Khidmat ADUN Selama sebagai pengurus program korban kali ini,” katanya.

Program yang dijalankan selama tiga hari bermula Selasa itu melibatkan seekor lembu ‘sado’ dan lima lembu tempatan sumbangan Syarikat-syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri (GLC).

“Selain dari ternakan sumbangan kerajaan negeri, kita juga akan mengedarkan daging korban daripada enam lembu dan lapan kerbau daripada bahagian peserta,” ujar beliau.

Beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri turut berharap pelaksanaan tersebut meningkatkan penghayatan kepada sunnah ibadah tersebut dalam kalangan umat Islam warga penduduk khususnya. – HARAKAHDAILY 23/7/2021

- Advertisement -