UMK biayai kos penghantaran pulang pelajar

- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN

KOTA BHARU:
Universiti Malaysia Kelantan (UMK) membiayai penghantaran pulang pelajar ke kediaman masing-masing sempena cuti akhir semester kali ini.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dr Razli Che Razak berkata, hampir RM20,000 dibelanjakan Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) bagi melaksanakan program tersebut.

- Advertisement -

Katanya, kos berkenaan sebagai subsidi pembayaran sewaan bas dan tiket penerbangan pelajar bagi semesta Febuari 2020/2021.

“Pemberian subsidi berkenaan antara usaha yang diambil UMK bagi meringan beban pelajar untuk pulang bercuti.

“Operasi penghantaran pulang pelajar turut mendapat kerjasama Malaysia Relief Agency (MRA) Kelantan yang menyumbangkan makanan bernilai RM10,000.

“Pelepasan pulang pelajar Fasa 1 pada 16 Julai lalu melibatkan 142 orang pergerakan ke Zon Utara seperti Perlis, Kedah dan Perak.

“Manakala untuk Zon Timur iaitu Terengganu dan Pahang pula menggunakan empat buah bas,” katanya di sini.

Menurutnya, pergerakan pulang pelajar dari Sabah dan Sarawak menggunakan penerbangan awam pula bermula 15 Julai lalu.

Pada 9 Julai lalu Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) membenarkan pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) pulang ke rumah sempena cuti semester 2020/2021 bermula 12 Julai lepas.

Dr Razli juga berkata, HEPA diamanahkan memastikan pergerakan pelajar UMK pulang mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Jumlah pelajar UMK yang dibenarkan hadir ke kampus untuk semester Februari sesi pengajian 2020/2021 seramai 860 orang di ketiga-tiga kampus.

“Namun hanya 811 pelajar sahaja yang memohon pulang ke rumah, manakala selebihnya memilih terus berada di kampus khususnya pelajar di Kampus Jeli yang menjalankan kerja penyelidikan dan melengkap tugasan makmal,” katanya.

Menurutnya pergerakan Fasa 2 pada 1 hingga 2 Ogos ini melibatkan seramai 254 akan pulang menggunakan bas, kenderaan universiti dan kenderaan milik pelajar. – HARAKAHDAILY 23/7/2021

- Advertisement -