Taktik seludup minyak masak dari kilang ke Thailand

- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN

KOTA BHARU:
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan dan Terengganu berjaya mematahkan cubaan menyeludup 5,474 kilogram minyak masak paket bersubsidi ke Thailand.

Nilai rampasan keseluruhan yang merangkumi minyak masak dan dua kenderaan bernilai RM213,685.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri, Azanizam Affendi Juri berkata, jumlah rampasan berkenaan melibatkan anggaran harga minyak RM13,685, manakala dua lori satu tan dengan anggaran masing-masing RM50,000 dan sebuah lori tiga tan anggaran RM100,000.

- Advertisement -

Katanya, aktiviti penyeludupan itu berjaya dipatahkan hasil operasi bersepadu bersama Pasukan Polis Marin, Wilayah Tiga Pengkalan Kubor dan Tok Bali dijalankan bermula 17 hingga 19 Julai.

Kata beliau bertindak atas maklumat, pasukan operasi mengesan beberapa lori yang membawa minyak masak dari Lembah Klang menghala ke Kelantan.

”Satu tindakan kes dihasilkan bertempat di Jelawat, Bachok. Pasukan serbuan menahan sebuah lori hasil daripada maklumat risikan dan mendapati lori tersebut telah selesai memindahkan minyak masak ke dua lori lain.

“Susulan kes tersebut, dua pemeriksaan dilakukan di Sekatan Jalan Raya di Jambatan Sultan Yahya Petra ke atas dua lori dan menjumpai minyak masak paket 1 kilogram bersubsidi dengan jumlah anggaran sebanyak 5,474 kilogram,” katanya pada kenyataan semalam.

Turut ditahan dua pemandu lori dan seorang kelindan. Suspek lelaki berumur 20-an turut ditahan bagi siasatan lanjut.

Azanizam juga berkata, siasatan awal mendapati mereka mengaku dibayar upah untuk membawa minyak masak ke Pengkalan Kubor sebelum diambil individu lain untuk dibawa ke pangkalan haram.

“Pada 19 Julai satu pasukan khas ditubuh dengan kerjasama Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Terengganu dan telah mengambil tindakan kes ke atas satu premis bertempat di Kuala Terengganu, disyaki terlibat dalam transaksi pembelian dari kilang pembungkus di Lembah Klang.

“Modus operandi kali ini mendapatkan bekalan minyak masak dari luar Kelantan seterusnya dibawa ke tempat transit sementara bagi mengaburi pihak berkuasa sebelum dibawa ke sempadan untuk diseludup ke negara jiran,” katanya.

Katanya, empat kes tersebut disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

“KPDNHEP Kelantan tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang menjalankan aktiviti yang tidak bermoral itu dan tindakan tegas akan dikenakan.

“Kerjasama Operasi Bersepadu sentiasa dijalankan bersama Pasukan Polis Marin dan semua Agensi Penguatkuasaan Sempadan dari semasa ke semasa bagi membanteras ketirisan subsidi yang dibekalkan kerajaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/7/2021

- Advertisement -